Kalau sebut je lagu berjudul Cek Mek Molek, mesti dalam fikiran kita terus bayangkan penyanyi lagenda Datuk M Daud Kilau kan? Alah, yang kalau buat show mesti baju glitter tu.
Terbaru, melalui perkongsian di laman Facebook oleh Perak Gazette mengatakan bahawa penyanyi veteran itu mengakui sudah sampai masanya untuk beliau melupakan dunia hiburan disebabkan masalah kesihatan yang dihidapinya.
Tambahnya lagi, penyanyi itu mengaku bahawa dirinya sudah tidak mampu untuk berdiri dalam tempoh yang lama apatah lagi untuk bergelek di atas pentas.
“Saya dah tak larat nak berdiri dan bergelek di atas pentas lagi. Tak boleh nak buat persembahan lagi,
“Saya menghidap sakit kencing manis, kebas kaki dan tangan serta pinggang yang rasanya sakit sangat.
“Sekarang saya membuat rawatan susulan dua atau tiga minggu sekali di klinik dan hospital.” katanya.
M Daud Kilau turut berkata beliau terpaksa menolak tawaran untuk membuat persembahan termasuk undangan daripada kumpulan Black Dog Bone untuk melakukan persembahan di Singapura.
Kumpulan itu turut menawarkan beliau untuk duduk sahaja di atas pentas, tetapi beliau tetap dengan keputusannya untuk menolak undangan tersebut.
“Saya menolak untuk membuat persembahan kerana saya tak boleh berdiri lama, saya selalunya lincah di atas pentas.
“Kalau datang duduk saja (di atas pentas) tak elok. Tak kan nak tunjuk muka saja. Black Dog Bone kata datang saja, mereka buat persembahan dan saya duduk saja.
“Tak nak saya. Belum pernah saya buat macam tu, kecualilah saya tetamu jemputan yang hanya datang dan duduk saja.
“Mereka beri duit, tambang kapal terbang, hotel, tak kan saya datang nak duduk sahaja. Jadi saya minta maaf kepada mereka yang membuat tawaran, saya tak dapat memenuhi undangan mereka kerana masalah kesihatan yang saya alami,” katanya.
Rindukan peminat
Lumrah menjadi penghibur, mana mungkin tidak ada perasaan rindu untuk beraksi di atas pentas dan berjumpa dengan peminat? Sama lah seperti beliau yang mengaku kadang kala merindui para peminatnya.
“Kalau rindukan peminat, saya tatap koleksi baju labuci yang masih saya simpan dengan rapi,” katanya.
Bagaimanapun penyanyi veteran ini tetap mengharapkan para peminat dan orang ramai untuk mendoakan kesihatan dan kesejahteraanya.
“Saya berharap peminat mendoakan kesihatan saya,
“Saya hanya mahu menghabiskan sisa hidup ini, berapa lama lagi Allah bagi saya.
“Saya bersyukur sampai sekarang Allah memberi nafas kepada saya,” katanya.
Admin harap Datuk M Daud Kilau diberikan kesihatan serta umur yang berpanjangan.