Dua hari lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull membuat pendedahan tentang pengalaman buruk yang dilaluinya ketika membuat siasatan tentang 1MDB. Shukri juga ada membuat satu kenyataan menggelar bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM seorang pembelot dan pengkhianat negara.
Menurut Free Malaysia Today, bekas ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad hari ini memberikan maklum balas terhadap hal itu. Katanya tuduhan sebagai pembelot yang dilemparkan ke atasnya adalah sangat berat.
Selama hampir 25 tahun berkhidmat dalam kerajaan, Dzulkifli mendakwa dia menjalankan tugas yang diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab, profesional dan sentiasa memberikan komitmen yang tinggi.
“Saya sesungguhnya tidak pernah pada bila-bila masa menjadi atau bertindak sebagai pengkhianat negara.”
Pun begitu, Dzulkifli memaklumkan bahawa dia ada menerima permohonan maaf daripada Shukri berkenaan insiden semalam.
“Bagaimanapun, saya amat terharu dan ingin memaklumkan Datuk Seri Shukri menghubungi saya pagi ini melalui WhatsApp.”
“Sebagai seorang yang berjiwa besar, beliau memohon maaf kepada saya di atas kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan terhadap diri saya dalam sidang media semalam.”
Shukri sebelum ini memohon persaraan awal pada tahun 2016 dengan alasan mahu menyambung pengajian kerana tidak mahu berkhidmat di bawah Dzulkifli.
“Dzulkifli dilantik sebagai ketua SPRM, saya takkan bekerja di bawah seorang pengkhianat,” kata Shukri dalam sidang medianya.
“Dzulkifli datang pada 1 Ogos 2016 dan saya keluar bulan Oktober. Saya tidak akan kerja di bawah beliau.”
Tindakan Shukri meminta maaf dengan perkataannya yang menyakiti hati orang lain wajar dijadikan contoh untuk kita semua. Eloklah kalau dua-dua dah saling memaafkan di bulan mulia macam ni.
Baca: “Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM pembelot, pengkhianat” – Shukri