Usahawan Datin Vivy Yusof mendedahkan kini dirinya sedang bertarung untuk melawan penyakit autoimun lupus yang juga singkatan bagi Sistematik Lupus Eritematosus atau Systemic Lupus Erythematosus (SLE).
Menerusi perkongsiannya di Instagram, Vivy berkata dia perlu menghadapai penyakit itu seumur hidup dan reda dengan apa yang terjadi bagaimanapun dia tidak putus asa untuk terus mendapatkan rawatan.
Artikel berkaitan : Perbicaraan Tuduhan Kes Pecah Amanah Vivy Yusof & Suami Bermula 13 April 2026
Artikel berkaitan : Vivy Yusof Dedah Hidap SLE Di ‘Newsletter’, Ramai Luah Rasa Simpati
“Lupus bermaksud serigala yang memberi gambaran betapa penyakit ini menakutkan. Secara asasnya, menyakitkan badan anda dari dalam. Anda mungkin tak sedar kerana wujud menerusi simptom seperti keletihan, ruam atau sakit sendi.”
“Stres adalah musuh utama, saya fikir saya sudah menguruskan stres saya dengan baik sebagai seorang usahawan. Saya jarang jatuh sakit dan saya selalu optimis. Tetapi, saya tidak tahu bahawa badan saya sebenarnya sedang runtuh dari dalam.”
Tambahnya, dia bersyukur kerana dapat tahu penyakit itu awal agar dia boleh mencari cara untuk merawatnya.
“Saya bersyukur saya disahkan menghidap penyakit itu. Jadi, saya tahu bagaimana hendak merawatnya.”
“Saya diberitahu ia adalah penyakit seumur hidup di mana saya sudah reda menerimanya. Tetapi, saya sentiasa mencari pilihan rawatan yang tidak membabitkan pengambilan steroid untuk jangka masa panjang.”
Menurut laporan Berita Harian, Vivy dilihat kembali berkongsi mengenai kehidupannya kepada pengikut selepas mengambil masa seketika untuk dirinya sendiri. Sebelum ini, Vivy menyulitkan akaun Instagram miliknya selepas didakwa di mahkamah.
Untuk rekod, Vivy dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar telah didakwa atas pertuduhan pilihan melakukan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (KHAZANAH) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta, enam tahun lalu.
Sumber : Berita Harian, Instagram