Seorang wanita wilayah Hubei, China menerima kejutan seumur hidup apabila disahkan sedang hamil dan berjaya melahirkan anak lelaki hanya dalam masa sejam selepas tiba di hospital, tanpa menyedari dirinya mengandung sebelum itu.
Menurut laporan Harian Metro, insiden luar biasa itu berlaku pada 16 Jun lalu dan kini menjadi perbualan hangat di media sosial China.
Wanita terbabit, hanya dikenali sebagai Li, mengalami sakit perut selepas makan tengah hari dan menganggap ia disebabkan makan berlebihan. Namun apabila kesakitan semakin kuat, dia segera ke hospital menaiki motosikal sekitar jam 2 petang.
Artikel berkaitan: Jemaah Haji Dari Togo, Afrika Barat Melahirkan Bayi Ketika Di Padang Arafah
Artikel berkaitan: Alami Sakit Perut, Muntah Dan Cirit-birit, 16 Pengunjung Taman Rekreasi Che Minah Sayang Dijangkiti Rotavirus
Ketika pemeriksaan ultrasound dijalankan, Li tiba-tiba mengalami kontraksi dan air ketubannya pecah. Tanpa diduga, dia melahirkan seorang bayi lelaki seberat 2.5 kilogram secara normal pada jam 3.22 petang.
“Saya sangat terkejut apabila doktor beritahu saya mengandung. Saya betul-betul bingung”
Li, yang sudah mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun, mengakui tidak perasan langsung sebarang tanda kehamilan kerana kitaran haidnya memang tidak teratur sejak dahulu, selain tiada sebarang simptom seperti loya atau muntah.
Tambahnya lagi, walaupun berat badan naik sedikit, dia terus menjalani rutin harian seperti biasa termasuk menunggang motosikal ke sana sini. Li juga bersyukur kerana bayinya dilahirkan sihat.
Selepas bersalin, Li dipindahkan ke pusat kesihatan bandar untuk pemantauan, manakala suaminya yang bekerja di bandar lain terus pulang ke Ezhou untuk bersama isteri dan anak mereka.