Kebanyakan murid dan pelajar tinggal di Golok, Thailand yang menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang tidak bersetuju untuk tinggal di asrama seperti yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Pelajar-pelajar ini yang terdiri daripada sekolah rendah dan menengah meluahkan, mereka tidak selesa untuk tinggal di asrama.
Sebaliknya mereka mendakwa sanggup menggunakan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) setiap hari bermula 1 Disember ini walaupun berdepan kesukaran.
Artikel berkaitan: Pelajar Seberang Sungai Golok Untuk Ke Sekolah Disyor Tinggal Di Asrama – Menteri Pendidikan
Ada dalam kalangan mereka terutama murid sekolah rendah tidak pernah ada pengalaman tinggal di asrama yang menyebabkan mereka enggan berbuat sedemikian.
Salah sebuah sekolah rendah di situ yang mempunyai 40 murid yang tinggal di Golok, kesemua mereka menolak untuk tinggal di asrama.
“Saya memilih untuk melalui ICQS walaupun sedikit sukar dan jauh. Semoga ada kelonggaran untuk kami menggunakan ICQS.
“Bukan saya seorang, ramai kawan-kawan yang tolak untuk tinggal di asrama. Lagipun kami ada pas sempadan untuk lalu ICQS,” kata seorang pelajar.
Alasan lain pula, pelajar tidak sanggup untuk tinggal di asrama kerana tidak pernah berjauhan dengan keluarga.
Semalam media melaporkan, seramai 303 murid dan pelajar tinggal di Thailand yang menggunakan pangkalan haram Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang diberi empat pilihan sebelum pelaksanaan larangan rentas sempadan bermula 1 Disember ini.
Empat pendekatan berkenaan adalah pelajar disarankan tinggal di asrama atau menumpang asrama berdekatan sekiranya sekolah berkenaan penuh atau tiada kemudahan itu.
Selain itu, pelajar juga disarankan menyewa rumah di sekitar sekolah dan pilihan terakhir mereka perlu menggunakan ICQS.
Sumber: Buletin TV3