Pencapaian luar biasa seorang pelajar tahfiz dari Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor (MTM) Pengkalan Chepa telah meraih perhatian ramai apabila berjaya menamatkan Syahadah Hafazan al-Quran kategori 30 juzuk hanya dalam tempoh 18 jam tanpa sebarang kesalahan bacaan.
Prestasi yang dipamerkan Ahmad Fikri Abdul Hisyam, membolehkan pelajar berusia 16 tahun ini meraih pangkat mumtaz.
Menerusi ujian syahadah itu, Ahmad Fikri memperdengarkan bacaan hafazannya itu bermula dari jam 5.30 pagi hingga 11 malam dalam masa sehari di hadapan enam panel terdiri daripada guru tahfiz dan hanya berehat untuk makan serta solat.
Artikel berkaitan: Seimbang Dunia Akhirat, Atlet Mobile Legends Negara Hafal 30 Juzuk Al-Quran
Artikel berkaitan: “Sebagai penghargaan kecemerlangan arwah dalam bidang Al-Quran”- Sebuah Galeri Khas Akan Diwujudkan Oleh UPSI & Dinamakan Sempena Nurly Sahirah
Ahmad Fikri turut cipta sejarah
Memetik sumber Sinar Harian, Pengetua MTM, Najmuddin Abdullah menganggap apa yang dilakukan Ahmad Fikri sangat luar biasa kerana kebiasaannya seorang pelajar tahfiz akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hari untuk menghabiskan syahadah 30 juzuk al-Quran.
“Kalau ikut kebiasaan pelajar akan buat 10 juzuk sehari, tapi Ahmad Fikri hanya ambil masa 18 jam dalam masa sehari.
“Perkara ini dilakukan atas permintaan dia sendiri dan tiada paksaan mahupun tekanan daripada pihak sekolah,” katanya.

Menurutnya, pencapaian Ahmad Fikri turut mencipta sejarah semenjak aliran tahfiz diwujudkan pada tahun 2010 di MTM yang sudah beroperasi selama 73 tahun itu.
Ujarnya, sepanjang 15 tahun aliran tahfiz di sekolah berkenaan, tiada pelajar tamat hafazan 30 juzuk, yang ada hanya 15 juzuk.
“Jika diikutkan pada sukatan, pelajar hanya wajib menghafal tiga juzuk setahun iaitu bermula dari Tingkatan Satu hingga Lima.
“Jadi apabila tamat pengajian mereka hanya boleh habiskan 15 juzuk al-Quran, tapi Ahmad Fikri sangat luar biasa kerana dia berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk semasa di Tingkatan Tiga serta melakukan syahadah pada Tingkatan Empat,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
