Netizen dikejutkan dengan perkongsian pelakon dan model terkenal, Zahnita Wilson yang memuat naik foto matanya lebam dan bengkak di laman Instagramnya.
Zahnita atau nama lengkapnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, mendedahkan dia menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan itu bukanlah kejadian pertama berlaku.
Kataya, sepanjang 20 tahun perkahwinannya dengan Abdul Zackery Ghouse, sudah beberapa kali berlaku kejadian serupa dan dia sudah buntu untuk mencari jalan bagi menyelesaikan kemelut rumah tangganya, lapor mStar.
Artikel berkaitan: “Saya taknak buat ni…” – Muat Naik Gambar Mata Lebam, Netizen Risau Keadaan Zahnita?
Dakwa Zahnita, dia sering dikasari suaminya dan pernah membuat laporan polis sebelum ini namun tiada apa-apa tindakan yang berlaku.
“Selama ini saya dipukul dan saya ada buat laporan polis tetapi tidak ada apa-apa tindakan. Malan tindakan itu berbalik kepada saya, sangat gila,” katanya.
Pernah fail cerai
Menurut ibu kepada empat orang cahaya mata itu, dia pernah memfailkan permohonan cerai terhadap Zackery namun selepas suaminya memujuk dia mengambil keputusan kembali berbaik.
Namun, harapannya dimusnahkan apabila suaminya langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan dan masih mengulangi kesilapan sama.
“Selama ini saya cuba untuk mempertahankan rumah tangga kami. Saya juga pernah minta cerai tetapi dia menjanjikan bumi dan langit.
“Tetapi tidak lama, dia ulang semula perbuatan mengasari saya. Sudah 20 tahun saya bertahan, cukuplah!” katanya yang sedang menunggu wakil peguam untuk memgambil tindakan seterusnya.
Terpaksa dedahkan perbuatan suami
Zahnita menjelaskan bahawa dia terpaksa mendedahkan perbuatan suaminya kerana ingin mendapatkan semula anak sulungnya yang berusia 17 tahun, yang kini berada bersama Zackery sejak seminggu lalu.
“Saya mahukan anak saya. Sudah seminggu lebih dia ambil anak saya dan saya sudah tidak tahu apa lagi nak buat.
“Saya terpaksa buka aib, maaf saya tidak boleh simpan lagi,” katanya.
Malah, pendedahan itu dibuat kerana mahu memberi kesedaran kepada golongan wanita yang dianiaya suami untuk bangkit dan bersuara mengenai keganasan rumah tangga.
Menurut laporan, pergaduhan antara mereka tercetus apabila Zahnita membangkitkan isu suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain.
Sumber: mStar