Penafian: Artikel ini mengandungi gambar/video/penulisan yang mungkin kurang menyenangkan bagi sesetengah orang. Kebijaksanaan pembaca amat diharapkan.
Penderaan rumah tangga bukan hanya berlaku apabila suami pukul isteri, ia juga turut termasuk jika ibu bapa atau penjaga memukul dan mencederakan anak-anak.
Baru-baru ini, satu perkongsian seorang gadis berusia 19 tahun bernama Dahlia (d4hleea) telah mendapat perhatian ramai apabila dia mendedahkan penderaan yang diterimanya dari bapa tiri.
Menurut laporan polis yang dibuatnya, Dahlia menceritakan bahawa dia telah pergi melawat ibu kandungnya pada 17 Ogos lalu di Parit Buntar pada jam 11 malam.
Di sana, telah berlakunya pergaduhan di antara dia dan ibu kandungnya sebelum ayah tirinya keluar dari bilik air dan mula menarik leher dan menampar pipinya.
Tak terhenti setakat itu, bapa tirinya ini juga turut dikatakan telah menendang dan memijak kepalanya dan berterusan menendangnya sehingga termasuk ke bawah kereta di luar rumah dan mendakwa lelaki tersebut cuba menetaknya menggunakan parang.
Namun, perbuatan kejam ini telah dihentikan selepas salah seorang jiran datang dan bapa tirinya itu telah lari masuk ke rumah dan menutup pintu.
Dahlia turut mengatakan bahawa dia kemudiannya telah diselamatkan oleh kawannya yang berjaya membawa dia keluar dari rumah untuk di bawa ke rumah bapa kandungnya.
Keesokan harinya, doktor yang membuat pemeriksaan ke atasnya dikatakan terkejut melihat kecederaan yang dialami oleh gadis ini.
Walaupun ketika membuat laporan polis Dahlia menceritakan bahawa salah seorang pegawai telah memarahi bapa tirinya itu kerana memukulnya, dia juga turut mengatakan bahawa dia dinasihatkan untuk memaafkan bapa tirinya itu.
Menurut Dahlia, kesan dari pukulan tersebut telah menyebabkan dia kini sukar untuk makan serta baring kerana kesakitan yang ditanggungnya. Dia juga turut mengalami masalah penglihatan akibat kecederaan di mata.
Perkongsian Dahlia ini bukan sahaja mendapat perhatian dari ramai netizen malah Caprice juga mengatakan bahawa dia dan kumpulannya kini sedang meneliti kes ini dan akan cuba untuk membantunya.
Harapnya Dahlia dapat bantuan yang sepatutnya…
Baca: Dulu Tak Mengaku Anak, Pelakon Kutuk Ex-Wife ‘Ikan Masin’ Cemburu Zuriat Mesra Dengan Bapa Tiri