Maharani Elisabeth dari Austria merupakan golongan diraja yang berkuasa pada kurun ke-19 yang dikenali kerana kecantikannya dan salah seorang selebriti besar pertama yang menderita kerana menjadi tumpuan media.
Dikenali sebagai wanita paling cantik di dunia, Elisabeth seorang yang tak pernah mengikuti peraturan dan ritual ketat mahkamah Austria malah dikenali dengan sifatnya yang suka melawan, gemar mengembara dan pengkritik tegar sesuatu kepercayaan.
Kehidupan Elisabeth atau dikenali dengan panggilan Sisi ini sangat dipuja dan disanjung oleh orang ramai tapi sebaliknya, dia turut terseksa dengan peranannya sebagai maharani, isteri dan seorang ibu sebelum dibunuh di tangan anarkis. Ini kisahnya…
Artikel berkaitan: Kisah Penderitaan Maharani Wanrong, Isteri Maharaja Terakhir China Ni Memang Sangat Menyayat Hati
Artikel berkaitan: Palsukan Kematian? Ini Antara 5 Teori Konspirasi Kematian Puteri Diana #Throwback
Kehidupan awal Elisabeth
Elisabeth dilahirkan pada 24 Disember 1837 di Munich, Bavaria. Kehidupan awalnya bermula dengan tragedi apabila bapanya, Duke Maximillian Joseph telah meninggal dunia ketika dia baru berusia 10 tahun. Kematian ini memberikan kesan yang mendalam buat Elisabeth sehingga dia mencari ketenagan melalui sastera, muzik dan seni.
Untuk pengetahuan korang, ibu Elisabeth iaitu Duchess Ludovika telah lama merancang untuk menjodohkan anak perempuannya iaitu kakak Elisabeth, Helen dengan anak kakaknya, Maharaja Austria, Franz Joseph I.
Namun begitu, apabila mereka pertama kali bertemu, Franz Joseph telah jatuh cinta dengan Elisabeth yang baru berusia 15 tahun dan dua hari selepas itu, dia telah meminta Elisabeth untuk berkahwin dengannya. Pasangan ini berkahwin di Vienna pada 24 April, 1854.
Perkahwinan Elisabeth
Sejak hari pertama dikahwinkan, maharani muda ini telah rasa terpenjara dengan peraturan yang perlu diikutinya sebagai seorang maharani sehingga dia menghabiskan masanya menangis sepanjang bulan madu.
Selepas Elisabeth mempunyai anak dengan Franz Joseph, ibu mertua yang juga makciknya itu telah mengambil alih tugas untuk membesarkan anak-anak tanpa menghiraukan apa yang Elisabeth mahukan. Pada 1857, anak Elisabeth, Sophie dan adiknya Gisela telah jatuh sakit sehingga Sophie meninggal dunia, perkara ini membuatkan ibu mertuanya telah mengawal Gisela sehingga menjauhkan hubungan di antara ibu dan anak.
Ketika masih bersedih dengan kehilangan anak pertamanya, Elisabeth telah ditekan untuk mendapatkan anak lelaki untuk dijadikan waris kepada takhta Austria. Rudolph kemudiannya lahir pada 1858.
Obses dengan penampilan diri
Kalau ikutkan zaman sekarang, Elisabeth boleh dikatakan mempunyai masalah pemakanan. Kebanyakan hari, maharani ini hanya makan produk tenusu dan telur sahaja. Kalau badannya naik, dia akan berpuasa sehingga berhari-hari.
Elisabeth juga turut menjaga kecantikannya, dia telah mengambil masa berjam-jam setiap hari untuk menjaga rambutnya yang panjang mengurai dengan membasuh rambutnya setiap hari dengan telur dan arak. Manakala untuk wajahnya pula, dia telah menggunakan krim yang dibuatnya sendiri dari lilin, minyak badam dan air mawar.
Dikatakan, Elisabeth terlalu obses dengan penampilan dirinya kerana itu sahaja perkara yang dia boleh kawal sendiri dalam kehidupannya sebagai seorang maharani.
Walaupun sering menjaga penampilannya, apabila Elisabeth berusia 30 tahun, dia mula enggan untuk mengambil potret formal dan bersembunyi disebalik kipas dan selendang dengan potret terakhir dibuat ketika dia berusia 40 tahun. Pakar sejarah mengesyaki yang Elisabeth mahu wajahnya kekal muda untuk orang-orang yang mahu mengingatinya.
Suka melawan dan enggan mengikut protokol
Elisabeth dikenali sebagai seorang yang mempunyai semangat yang bebas dan tak suka dikongkong dengan mentaliti di mana kerjanya hanya untuk melahirkan anak lelaki untuk dijadikan pewaris takhta.
Tak cukup dengan itu, walaupun wanita dilarang utnuk menghisap rokok, Elisabeth dikatakan sering dilihat merokok sehinggakan beritanya merokok ini telah sampai ke telinga mahkamah England di mana Ratu Victoria didakwa marah dengan kelakuan Elisabeth.
Sifat Elisabeth ini dikatakan telah diambil dari bapanya yang juga seorang yang bebas, sukakan seni dan gemar mengembara. Bapanya juga sering mendorong Elisabeth untuk tak pergi ke sekolah untuk menunggang kuda atau mendaki. Ini dikatakan menjadi punca besar Elisabeth tak suka dengan kehidupan diraja.
Walaupun dipuji kerana parasnya yang cantik, Elisabeth juga seorang yang bijak. Dia sukakan sejarah, filosofi dan sastera serta dikatakan gemar menulis puisi.
Selepas melahirkan anak lelakinya Rudolf, Elisabeth telah jatuh sakit dan doktor mencadangkan supaya Elisabeth mengembara ke tempat yang beriklim tropikal. Disebabkan ini, Elisabeth telah pergi ke pulau Madeira di Portugal dan tinggal di sana selama enam bulan tanpa suami dan anak-anaknya. Elisabeth percaya Vienna merupakan sebab kenapa dia sakit dan mula mengembara lebih banyak.
Kejatuhan Rudolf
Pewartis takhta, Putera Rudolf pada awalnya tak mempunyai masalah. Dia telah berkahwin ketika usianya awal 20-an dengan salah seorang anak keluarga diraja Belgium dan mempunyai seorang anak perempuan pada 1883.
Namun begitu, dia tiba-tiba berubah dan mahu membatalkan perkahwinannya namun gagal. Dia mula mempunyai hubungan sulit dengan ramai perempuan serta menjadi seorang kaki botol.
Pada 1888, Rudolf dikatakan telah menjalinkan hubungan dengan seorang gadis bangsawan berusia 17 tahun bernama Mary Vetsera. Tapi pada 30 Januari, kedua-dua mereka telah ditemui mati di rumah persinggahan untuk memburu yang terletak di Mayerling.
Pakar sejarah tak pasti sama ada Rudolf telah membunuh dirinya sendiri kerana perlu mengakhiri hubungannya dengan gadis tersebut atau pun dia tertekan. Tapi dia dikatakan telah dianggap tak mempunyai mental yang stabil.
Selepas kematian anaknya ini, Elisabeth makin hilang dari radar dan menghabiskan masanya dengan mengembara. Kerana ini juga, ia telah menjauhkan hubungannya dengan suaminya Franz Joseph. Maharaja itu mula menjalinkan hubungan sulit dan memberikan penyakit kelamin kepada isterinya sehingga Elisabeth mula jatuh sakit dan enggan mempunyai anak lagi.
Ditabal menjadi Ratu Hungary
Hungary telah ditindas oleh empayar Austria-Hungary dan Franz Joseph turut merosakkan hubungan dengan negara tersebut. Tapi, disebabkan hubungan baik di antara Elisabeth dan ketua populis Hungary, Count Gyula Andrassy, maharani ini telah meyakinkan suaminya untuk memulihkan hubungan dengan Hungary selepas Austria kalah dengan Prussia pada 1867 bagi menguatkan semula Austria sebagai Eropah berkuasa.
Hubungan baik di antara Austria dan Hungary ini telah menyebabkan ekonomi kedua-dua negara ini menjadi sangat baik sekaligus menjadikan Elisabeth sangat terkenal kerana usahanya itu.
Selain itu, Elisabeth turut melahirkan seorang lagi anak iaitu Marie Valerie pada 1866 selepas dia membuat suaminya berjanji yang dia akan dijadikan Ratu Hungary jika dia mempunyai anak lagi. Pada Jun 1867, Franz Joseph telah ditabalkan menjadi Raja Hungary dan Count Gyula Andrassy dijadikan sebagai perdana menteri.
Kehidupan terakhir Elisabeth
Walaupun selepas menjadi Ratu Hungary, Elisabeth tetap meneruskan kehidupannya dengan pengembaraan. Dia telah melawat banyak bandar-bandar dan tak pernah duduk di satu-satu tempat terlalu lama namun begitu, tempat kegemarannya merupakan Corfu, Greece.
Semasa di Greece, Elisabeth dikatakan telah mencacah tatu sauh pada bahunya di usia 51 tahun bagi menunjukkan rasa cintanya kepada laut. Dia gemar berlayar walaupun ketika cuaca buruk.
Ketika dia berusia 60 tahun pada 1898, Elisabeth makin jarang dilihat di Vienna. Di Switzerland, Elisabeth telah merancang untuk mengambil bot dari Tasik Geneva untuk ke Montreux, namun apabila dia berjalan kaki dari hotelnya ke pelabuhan, seorang anarkis Itali, Luigi Lucheni yang merancang untuk membunuh figura diraja telah menghampiri Elisabeth sehingga dia tersadung dan menikam wanita ini sehingga tertusuk ke jantung dan paru-parunya.
Ekoran korset yang dipakai Elisabeth ketat, dia tak rasa sakit dari tikaman tersebut dan menganggap lelaki itu hanya melanggarnya. Elisabeth kemudiannya telah bangun dan masuk ke dalam bot. Tapi selepas beberapa minit bot berlepas, Elisabeth telah tak sedarkan diri.
Beberapa minit kemudian, Elisabeth disahkan meninggal dunia dengan setitik darah dilihat pada pakaiannya yang berwarna hitam sama seperti pakaian pertama yang dipakainya ketika pertama kali dia bertemu suaminya.
Pihak berkuasa kemudiannya telah menahan Lucheni dan dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup namun lelaki itu telah menggantung dirinya pada 1910.
Terkenal di dunia selepas kematiannya
Pada 1950, satu trilogi yang diberikan nama Sissi dan dibintangi oleh Romy Schneider telah menjadikan Elisabeth terkenal di seluruh dunia. Pada 2021 pula, satu siri mini bertajuk Sisi turut ditayangkan melalui perspekstif orang-orang yang rapat dengannya.
Netflix turut melancarkan siri TV The Empress yang menunjukkan tahun-tahun awal kehidupan perkahwinan Elisabeth dan Franz Joseph. Sebuah lagi filem pada 2022 bertajuk Corsage turut dibuat mengenai Elisabeth dan dibintangi oleh Vicky Krieps menunjukkan sifat-sifat rebellious Elisabeth di usia 40 tahun.
Sumber: Stars Insider