Seorang lelaki warga emas hari ini telah dikenakan denda sebanyak RM9,000 oleh Mahkamah Majistret atas pertuduhan mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan Singapura yang telah diubah suai menggunakan ‘salotape’ untuk mengisi minyak petrol RON95 di Kulai, Johor awal tahun ini.
Keputusan itu dibuat Majistret R. Salini selepas Orang Kena Saman (OKS), Long Sa Kow, 64, yang juga Penduduk Tetap (PR) Singapura mengaku bersalah sejurus pertuduhan itu dibaca dalam Bahasa Inggeris oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Sa Kow telah didakwa sebagai pemandu kepada kenderaan jenis Volkswagen Jetta dan mempamerkan nombor pendaftaran yang bukan milik kereta itu.
Kejadian yang viral di Facebook itu telah dilakukan di sebuah stesen minyak di Kulai pada jam 10.30 malam, 2 Januari lalu.

Artikel berkaitan: KPDN Johor Siasat Kes ‘Sellotape’ Nombor Plat Kereta Singapura Untuk Isi Minyak RON95
Artikel berkaitan: Isi RON95 Ke Dalam Tangki Kenderaan Berpendaftaran Asing, Stesen Minyak Di Sungai Petani Dikenakan Tindakan
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, OKS boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes tersebut telah dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya manakala OKS diwakili peguam bela Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli.
Dalam rayuannya, Sharmaine memohon agar mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap OKS atas alasan dia sudah bersara dan tidak mempunyai pendapatan tetap selain menanggung isteri dan dua anak yang masih belajar.
Walau bagaimanapun, Thiviya membantah rayuan itu dengan mengatakan hukuman dikenakan ke atas OKS memberi pencegahan dan pengajaran kepada lelaki itu supaya tidak mengulangi kesalahan itu.

Mahkamah juga untuk meneliti mengubah nombor plat pendaftaran kenderaan demi mengisi RON95 yang diberikan hanya untuk rakyat Malaysia adalah satu kesalahan.
“Hukuman yang berat perlu dilaksana demi menjaga kepentingan awam supaya tidak memberi pengajaran agar tidak mengulangi kesalahan ini,” katanya.
Majistret kemudian menjatuhkan hukuman denda RM9,000 dan jika ia tidak dibayar, OKS akan diarahkan menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan. OKS kemudian membayar denda tersebut.
Sumber: Kosmo
