Hari ini memasuki hari keempat prosiding bagi kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Saksi pendakwaan keenam, Faizul Najib Abd Munaim, 47, merupakan penduduk pertama menemui jasad kanak-kanak terbabit di aliran sungai pada 6 Disember 2023.
Menceritakan semula kejadian berkenaan, saksi berkata dia mula mencari Zayn Rayyan selepas solat di surau Al-Hidayah berdekatan lokasi kejadian.
Artikel berkaitan: “Pengadu tidak menjawab” -Pegawai Penyiasat Dakwa Ibu Zayn Rayyan Kelihatan ‘Kosong’
Artikel berkaitan: Saksi Dedah Riak Wajah Ismanira Tidak Risau, Lapor Polis Kehilangan Zayn Rayyan Lepas 5 Jam
Selesai solat hajat, saksi berkata, dia mengikuti operasi mencari di aliran sungai bersama dua lagi penduduk yang tidak dikenali dan diikuti empat kanak-kanak lain.
Ketika itu, dia berkata, waktu menunjukkan jam 9.40 malam, jadi dia menggunakan lampu suluh untuk melihat kawasan sekitar, memandangkan ia dipenuhi semak-samun.
“Kemudian, saya nampak ada badan kanak-kanak itu, saya terus menjerit, ‘dah jumpa, panggil ambulans! Kemudian saya terus terjun ke sungai dengan kedalaman lebih satu meter.
“Saya nampak badan arwah berada di beting pasir dalam keadaan bersih, seolah-olah dia tengah tidur.
“Ketika saya menjerit dia tidak memberi respon, saya sangka paling tak kelipkan mata, malangnya tiada tindak balas. Saya tengok bajunya terselak, nampak urat dah timbul,” katanya.
Saksi turut diminta untuk melakonkan semula peristiwa penemuan kanak-kanak berumur 6 tahun itu.
Dia juga gagal mengawal emosi dan menangis ketika menunjukkan Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan mengiring ke kiri badan, dengan kedua-dua tangannya di telinga.
Selepas kejadian berkenaan, saksi berkata, bagi menutup aib, seorang anggota polis menutup jasad arwah dengan menggunakan baju kot berwarna hitam.
Selepas itu katanya, seorang lelaki mengaku sebagai datuk Zayn Rayyan, mahu melihat cucunya diikuti bapa kanak-kanak terbabit.
Bagaimanapun, dia berkata, terdapat beberapa perkataan yang kurang enak didengar, telah diucapkan oleh Zaim Ikhwan.
Pendakwaan: Apa yang kami dengar?
Faizul Najib: Dia kata, “celaka, siapa yang bunuh anak aku ini?”
Pendakwaan: Apa perasaan kamu masa mendengar perkara itu?
Faizul Najib: Saya tersentap, sebab difahamkan ini merupakan kes budak hilang tapi saya faham, dia terbawa-bawa dengan emosi, jadi saya tak ambil kisah sangat, mungkin dia beremosi ketika lihat keadaan anak.
Pendakwaan: Bagaimana pula ketika di pondok laluan masuk ke Apartmen Idaman, Damansara Damai?
Faizul Najib: Bapa Zayn Rayyan ada beritahu ketika saya jumpa kanak-kanak itu, arwah masih hidup, namun saya nafikan perkara terbabit. Isterinya kemudian mencelah, supaya Zaim Ikhwan bersabar dan bertenang.
Untuk info, Zaim Ikhwan dan Ismanira dibicarakan satu pertuduhan kes pengabaian terhadap Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Sumber: Sinar Harian