in

Ringgit Mengukuh Ke RM4.16 Berbanding USD, Terbaik di Asia – PMX

ft pmx rm4

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini melancarkan kritikan keras terhadap pihak pembangkang, menzahirkan rasa kesal apabila kejayaan pengukuhan nilai Ringgit dan disiplin fiskal negara tidak mendapat sebarang pengiktirafan.

“Ringgit yang dulu kita diserang bertubi-tubi, ringgit jatuh… sekarang bila Ringgit mengukuh, tak sebut sepatah pun, ini masalahnya”

Dalam sesi jawapan menteri di Dewan Rakyat, Anwar menegaskan bahawa ekonomi Malaysia kini berada di landasan yang kukuh, disokong oleh data yang tidak boleh disangkal, termasuk peningkatan mendadak Ringgit yang diiktiraf sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia, mencecah paras RM4.16 berbanding AS$1.


Screenshot 2025 11 11 134638

Prestasi Global Diiktiraf: Data Buktikan Keberkesanan

Perdana Menteri juga turut membentangkan siri data ekonomi utama yang membuktikan keberkesanan pelaksanaan Dasar Ekonomi MADANI. Beliau menekankan bahawa pengukuhan Ringgit disokong oleh penarafan kredit negara yang kekal A- dan A3 oleh S&P Global Rating, dengan tinjauan yang stabil dan kukuh.

Di samping itu, beliau mendedahkan bahawa pelaburan terus meningkat dengan rekod RM384.2 bilion pada 2024, manakala daya saing dunia Malaysia melonjak sebanyak 11 anak tangga bagi tahun 2025, satu pencapaian terbaik dalam tempoh sedekad.

506472078 1178298517662893 4558717060806602878 n

Selain itu, trend perdagangan juga kekal positif, meningkat 4.4 peratus dengan jumlah dagangan RM2.24 trilion, meskipun berdepan keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan pengenaan tarif oleh Amerika Syarikat.

Bukti Defisit & Hutang Menurun

Dalam sesi soal jawab bersama Perdana Menteri di Parlimen itu, Anwar turut menafikan dakwaan pembangkang kononnya defisit fiskal kian membengkak, sebaliknya membuktikan ia sedang menurun hasil tekad politik dan strategi kewangan yang serius.

Tambahnya lagi, defisit fiskal telah berjaya diturunkan dari 5.5 peratus pada 2022 kepada 5.0 peratus pada 2023. Berdasarkan dasar dan strategi kewangan yang ketat, kerajaan menjangka ia akan terus turun kepada 3.8 peratus pada tahun 2025, dan kekal trend menurun dengan sasaran 3.5 peratus pada 2026.

Artikel berkaitan : PMX Disenarai ‘Top 10’ Tokoh Muslim Paling Berpengaruh Di Dunia

Artikel berkaitan : Perjanjian Malaysia-US Berat Sebelah? Tengku Zafrul Tampil Beri Penjelasan, Akan Bentang Di Parlimen Hari Ini

Penurunan ini, katanya, menunjukkan Kerajaan MADANI mempunyai disiplin dan tekad yang tinggi untuk mengurus kewangan, sekaligus meningkatkan keyakinan pelabur. Beliau menambah, hutang baharu yang ditanggung oleh kerajaan telah menurun dari RM100 bilion pada 2022 kepada RM77 bilion, membuktikan kawalan yang rapi dalam perbelanjaan.

Kejayaan Penjimatan Dana & Peningkatan Per Kapita

Keberkesanan ini turut dicerminkan dalam dua pencapaian penting lain:

Pertama, kejayaan pelaksanaan penyasaran subsidi, satu keputusan yang memerlukan “tekad politik” setelah diuar-uarkan berpuluh tahun, berjaya menjimatkan dana negara melebihi RM15 bilion.

Kedua, ekonomi negara semakin kukuh dan berdaya tahan, mencatat pertumbuhan 4.4 peratus bagi separuh pertama 2025 dan 5.2 peratus bagi suku ketiga 2025.

Perdana Menteri menekankan, pertumbuhan keseluruhan tahun ini berpotensi mencapai paras yang lebih tinggi daripada yang diunjurkan. Selain itu, per kapita rakyat juga meningkat kepada RM54,793, angka yang lebih tinggi dari tahun sebelumnya.

Sumber : MalaysiaGazette

Sumber: Awani
Sumber: Bernama

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.