Hari Selasa lepas, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) melancarkan Tabung Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bagi membantu mereka yang terkesan dengan banjir.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata,ia dilaksanakan bagi memberi peluang kepada orang ramai dan syarikat korporat untuk menyumbang melalui saluran yang betul, lapor Utusan Malaysia.
Namun begitu, warganet di media sosial telah melancarkan satu kempen ‘Do Not Donate Here’ yang mengajak orang ramai untuk tidak salurkan sumbangan ke tabung di bawah kerajaan itu.
Tak perlu ada hashtag sebegitu – Rina Harun
Kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, dalam keadaan sekarang keutamaan diberikan kepada mangsa bencana serta beliau memberi jaminan sumbangan yang diterima tabung bencana kerajaan akan disalurkan.
“Apa yang kita laksanakan (tabung bencana), donation (sumbangan) yang kita dapat kita sumbang balik kepada rakyat. Dalam keadaan sekarang tidak perlu ada ‘hashtag’ (tanda pagar) sebegitu. Tak kira sesiapa pun, sesiapa boleh membantu asalkan matlamat tercapai dan penerima bantuan dapat manfaat, itu yang penting.”
Saya tak sempat tukar kasut, dalam keadaan kelam kabut
Menjawab kecaman netizen kerana berkasut tumit tinggi ketika melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Saraswathy, Jalan Klang Lama, Ahad lepas, beliau menjawab bahawa ia tidak perlu dijadikan isu.
Katanya, pada waktu itu, beliau menghadiri ke Perhimpunan Agung Tahunan Keempat Bersatu di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dan bergegas ke lokasi banjir sejurus sahaja tamat.
“Semasa dalam perhimpunan, saya terima banyak mesej mengenai kawasan-kawasan terlibat banjir dan saya kira perlu saya turun untuk lihat keadaan. Masa itu saya hanya sempat tukar baju kurung kepada seluar dan baju, saya tidak sempat tukar kasut dalam keadaan kelam-kabut.”
Menurutnya, apa yang penting adalah keberadaannya di lokasi tersebut untuk pastikan kebajikan mereka terjaga, lapor Astro Awani.