Baru-baru ini kita dikejutkan dengan video yang memaparkan aksi beberapa pelajar yang bertindak memukul seorang pelajar sehingga berlaku pergaduhan fizikal di sebuah sekolah menengah di Langkawi.
Disebabkan video tersebut telah tular di media sosial serta mencetuskan pelbagai reaksi dari orang ramai, laporan telah dibuat dan telah diterima oleh Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari.
“Kan tak memasal beraya kat lokap…”
Menurut Kosmo!, seramai 13 orang pelajar yang dipercayai terlibat dengan kes itu telah ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan lanjut dijalankan.
12 pelajar telah ditahan pada jam 12:30 tengah hari semalam (28 April) manakala seorang lagi ditahan kemudiannya pada 3:30 petang hari yang sama. Kesemua pelajar tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
“Ketika ini, mereka semua diminta untuk berikan keterangan terperinci tentang apa yang berlaku dan rakaman sepanjang proses tersebut akan dibuat” – Asisten Komisioner Shariman Ashari
Tambah Asisten Komisioner Shariman Ashari, difahamkan kesemuanya merupakan pelajar tingkatan empat dari sekolah yang sama dan lima dari mereka dari kelas yang sama manakala selebihnya dari kelas yang berlainan.
Terkini, difahamkan kesemua 13 pelajar yang ditahan itu telah dibebaskan hari ini dengan jaminan polis selepas selesai sesi rakaman percakapan ke atas semua suspek.
Dengar tu adik-adik? Jangan bertindak melulu je kalau tak puas hati dengan kawan, bawa berbincang sama-sama okay…
Baca: “Teringin beraya dalam lokap ke?” – Pelajar SMK di Langkawi ‘Bantai’ Kawan, Siap Baling Meja