Mengundi semasa pilihan raya merupakan tanggungjawab setiap rakyat di Malaysia. Dengan kuasa yang ada di tangan, kita mampu membuat perubahan yang hebat kepada negara dan mempunyai hak untuk memilih pemimpin yang kita inginkan.
Tidak kira sama ada muda ataupun tua, kita seharusnya mempunyai semangat untuk turun mengundi demi negara yang tercinta ini.
‘Pokcik Mat’ dah umur 94 tahun tapi tak pernah culas mengundi
Seperti baru-baru ini, seorang warga emas bernama Muhammad Abdullah atau mesra dikenali sebagai ‘pokcik Mat’ yang berumur 94 tahun telah mengatakan bahawa dia tidak pernah sekalipun culas untuk pergi mengundi dan tekun dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
Menurut BERNAMA, dia juga menyatakan hasrat untuk tetap turun mengundi pada hari Sabtu ini walaupun dirinya sudah dimamah usia dan uzur.
“Anak saya bekerja di Kuala Terengganu dan saya dah bagitahu mereka untuk pulang ke kampung dan minta hantar saya ke pusat mengundi Sabtu ini.”
“Ramai yang complain dengan kerajaan tetapi bila masa tiba untuk memilih kerajaan, taknak pula pergi sebaliknya memilih untuk tidur di rumah sahaja.”
Warga emas yang berasal dari Chukai itu turut berharap agar peratus orang keluar mengundi pada hujung minggu ini akan lebih tinggi. Untuk pengetahuan korang, pokcik Mat juga merupakan antara 139,423 pengundi yang bakal menentukan pemimpin di parlimen Kemaman.
Sementara itu di Jertih, seorang lagi warga emas, Wan Yah Wan Ya’akob, 98, dari Kampung Jabi turut teruja untuk keluar mengundi walaupun ada ketika tahap kesihatannya merosot termasuk penglihatan dan pendengarannya.
Anak bongsunya, Harun Md Deli berumur 62 tahun adalah satu-satunya yang akan menghantar ibunya ke pusat mengundi.
“Saya hantarnya ke pusat mengundi semasa pilihan raya sebelum ini (PRU14). Walaupun kesihatan ibu saya tidak baik, memorinya masih tetap kuat. Dia tahu kepentingan mengundi.”
Menurut Harun, usia sebenar ibunya mungkin sudah melebihi 100 tahun berdasarkan tanda bintang pada hujung nombor kad pengenalan dan dipercayai ibunya adalah orang paling tua di kampung mereka.
“Zaman dulu ramai orang lambat daftar kelahiran. Ibu saya tidak sakit kritikal dan masih boleh berjalan cuma perlu dipapah.”
Walaupun sudah dimamah usia, min teruja dengan semangat mereka untuk tetap turun mengundi. Semoga menjadi inspirasi kepada semua rakyat Malaysia!
Baca: PRU15: Netizen Berang Parti Politik Terlalu ‘Ghairah’ Pasang Bendera Sampai Ganggu Lalu Lintas