Presiden Rusia, Vladimir Putin telah menyatakan permohonan maaf atas insiden yang melibatkan penerbangan Azerbaijan Airlines yang terhempas selepas memasuki ruang udara Rusia di Grozny, Chechnya, Rabu lalu.
Walau bagaimanapun, Putin tidak mengatakan bahawa Rusia bertanggungjawab atas insiden itu
Memetik laporan CNN, Putin berkata bahawa sistem pertahanan udara Rusia aktif apabila pesawat itu cuba mendarat di Grozny.
Akibat tidak dapat sampai ke lapangan terbang, pesawat itu melencong ke arah timur dan akhirnya terhempas berhampiran Aktau, Kazakhstan, mengorbankan 38 penumpang dan kru di dalamnya.
Tidak dapat dipastikan apakah motif di sebalik insiden itu. Akan tetapi seorang pegawai Amerika Syarikat memberitahu sumber mengenai tanda-tanda awal menunjukkan sistem anti-pesawat Rusia mungkin telah menjatuhkan pesawat itu.
Dalam ulasannya, Putin tidak mengatakan bahawa pertahanan udara Rusia mengenai pesawat itu.
Putin meminta maaf kerana insiden tragis itu berlaku di ruang udara Rusia, dalam sebuah panggilan telefon dengan Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev.
Pihak Rusia berkata bahawa pesawat itu “berulang kali cuba mendarat di lapangan terbang di Grozny” tetapi pada masa yang sama, kawasan Grozny, Mozdok dan Vladikavkaz telah diserang oleh dron tempur Ukraine, dan sistem pertahanan udara Rusia cuba mematahkan serangan ini.
Artikel berkaitan: Pesawat Jeju Air Terhempas, 28 Penumpang Dilaporkan Maut
Artikel berkaitan: Penumpang Hantar Video Ucap Syahadah Kepada Isteri Sebelum Pesawat Azerbaijan Airlines Terhempas
Aliyev memberitahu Putin bahawa pesawat itu menghadapi gangguan fizikal dan teknikal luaran semasa berada di ruang udara Rusia. Perkara ini mengakibatkan kehilangan kawalan sepenuhnya.
Sekurang-kurangnya lima syarikat penerbangan telah menggantung sementara penerbangan ke kawasan di Rusia sejak insiden itu, termasuk Azerbaijan Airlines, Turkmenistan Airlines, El Al Israel, Flydubai dan Qazaq Air.
Kebanyakan syarikat penerbangan tersebut menyatakan kebimbangan keselamatan semasa mengumumkan penggantungan.