Baru-baru ini, poster filem berjudul Budak Kripto telah dikecam hebat oleh netizen akibat pemilihan design yang dikatakan kurang menarik. Sehubungan isu tersebut, Zamzuri Mohammed Tahir tampil memberi penjelasan selaku produser bagi filem tempatan itu.
Menurut sumber, Zamzuri menyatakan pihaknya harus terbuka untuk menerima sebarang komen dari netizen tanpa mengira yang baik mahupun yang buruk. Dia turut akur dengan tomahan yang diterima sebelum menyatakan ada penjelasan di sebalik reka bentuk poster tersebut.
Betul kata dorang, dari segi warna ke, pemilihan bentuk tulisan ke, atau apa saja saya terima. Tapi mereka kena faham juga sebab poster ini mempunyai penjelasan tersendiri mengapa ia direka seperti itu”
Zamzuri kemudiannya menjelaskan isu skim cepat kaya yang dibawa melalui filem Budak Kripto, di mana isu tersebut menjadi perhatian ramai sekitar tahun 90-an. Oleh kerana filem DVD turut popular dalam era itu, secara tak langsung ia membawa perkaitan terhadap poster tersebut.
Dia turut menyatakan poster tersebut merupakan salah satu strategi pemasaran mereka untuk membuat orang ramai bercakap berkenaan filem ini.
Teknik reverse psychology yang digunakan oleh pihak mereka secara tidak langsung berjaya menarik hampir 50,000 jumlah tontonan untuk trailer filem ini.
Poster filem Budak Kripto sebelum ini diselar oleh netizen yang menyatakan poster filem tersebut seolah-olah kekurangan bajet dan dilihat seperti cover CD cetak rompak.
Ada juga yang menyatakan poster tersebut seperti sebuah carta organisasi kerana cubaan untuk memadatkan barisan pelakon yang ramai.
Budak Kripto akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 11 Oktober ini. Filem itu membintangi dua wajah baru iaitu Zam Azmi dan Nurul Hida, di samping barisan pelakon lain seperti Allahyarham Mamat Khalid, mendiang Accapan dan A. Galak.