Dah nak masuk tiga bulan, tentera Israel masih tak henti-henti menyeksa rakyat Palestin yang tak bersalah di Gaza. Berikutan itu, satu dunia tak henti-henti tunjukkan tanda sokongan buat negara yang ditindas itu.
Ada yang melakukan himpunan besar-besaran, ada yang boikot jenama pro-Israel dan bermacam lagi. Tak kurang juga, Pos Malaysia turut bersama-sama tunjukkan solidariti dengan melancarkan setem khas ‘Palestin Merdeka’ yang akan mula dijual pada 18 Januari tahun depan.
Artikel berkaitan: [Video] Pegawai Polis Tenang Layan ‘Scammer’ Yang Mengaku Staf Pos Malaysia, Siap Ajar Buat Report Polis Lagi
Artikel berkaitan: “Rasa berdosa pulak beli barang online, sorry” – Pos Malaysia Perjelas Kenapa Parcel Lambat Sampai Ke Penerima
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengatakan pelancaran setem tu melambangkan sokongan penuh Malaysia terhadap perjuangan dan pembebasan Palestin dari kekejaman Israel.
@fahmi.fadzil Bagi meneruskan semangat solidariti kepada Palestin, petang tadi saya melancarkan Setem Khas “Palestin Merdeka” di Ibu Pejabat Pos Malaysia. Pelancaran ini bukan sekadar simbolik, namun ianya juga mesej jelas bahawa Malaysia dan rakyatnya sentiasa di belakang perjuangan rakyat Palestin menuntut kemerdekaan mereka. Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka! #malaysiamadani #kerajaanperpaduan #fahmifadzil #malaysiatiktok #kkd
Tambahnya lagi, dia turut berhasrat untuk melakukan kempen menghantar surat bersama beberapa badan NGO bagi menggesa gencatan senjata dilakukan jika perlu.
“Kita akan pertimbang sekiranya perlu setelah dilancarkan (setem) ataupun setelah mula ada di pasaran mungkin kita akan berbincang dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengusahakan kempen menghantar surat untuk menggesa supaya gencatan senjata dilakukan.”
Katanya lagi, pelancaran ini merupakan kali ketiga setem berkaitan Palestin dikeluarkan di mana kali pertama dibuat pada tahun 1978 manakala kali kedua pula pada 1982.
Bagi siapa yang nak beli setem ni, ia akan dijual secara dalam talian di website dan di Pejabat Pos dan Biro Filateli Pos Malaysia dengan harga RM1.30 setiap setem.
Ia juga boleh dibeli dalam bentuk helaian yang mengandungi 20 setem pada harga RM26. Selain tu, Sampul Hari Pertama pula dijual pada harga RM0.50 manakala Folder berharga RM6.
Untuk pengetahuan korang, sebahagian hasil jualan setem tersebut akan disalurkan ke Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin yang seterusnya akan digunakan untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke rakyat Palestin.
Jom, korang beli banyak-banyak setem Pos Malaysia ni!
Sumber: Astro Awani