Pihak polis malam tadi telah menembak mati dua lelaki yang aktif melakukan jenayah samun, kekerasan dan pengedaran dadah dalam Op Api 3, di tempat letak kereta sebuah kondominium di Nilai, Negeri Sembilan.
Kedua-dua suspek yang berusia 29 dan 40 tahun telah dikesan di kondominium tersebut oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Kontinjen pada jam 10 malam, hasil risikan dan maklumat sebelum berusaha memberkas mereka.
Menurut Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus, selepas menyedari kehadiran polis, suspek berkenaan telah melepaskan tembakan sehingga memaksa pihak polis juga melepaskan tembakan balas bagi mempertahankan diri.
Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan maut di tempat kejadian.
Artikel berkaitan: 2 Lelaki Pakistan Ditahan, Kes Samun & Rog*l Wanita Di Jejantas KTM Serdang
Artikel berkaitan: 5 Perompak Menyamar Jadi Polis Nak Samun Sebuah Rumah
Pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek yang memiliki dua pucuk pistol jenis semi auto dan sepucuk revolver yang digunakan mereka dalam kejadian berbalas tembak itu.
“Suspek ini adalah ahli kumpulan penjenayah bersenjata yang aktif melakukan samun pecah rumah, kilang dan pusat pengumpulan barangan parcel J&T, pengedaran dadah di Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.
“Suspek berusia 29 tahun ini memiliki 11 rekod jenayah lampau manakala suspek berusia 40 tahun memiliki 76 rekod jenayah termasuk dikehendaki polis,” katanya.
Akibat daripada kejadian tembak menembak itu, kenderaan yang dinaiki polis didapati rosak terkena tembakan, namun tiada anggota yang cedera.
Pihak polis walau bagaimanapun tak menolak kemungkinan bahawa dua suspek tersebut adalah ahli kumpulan kongsi gelap berdasarkan penggunaan senjata api.
Menurut pihak polis lagi, lokasi kondominium itu dipercayai menjadi lokasi persinggahan suspek selain mengenal pasti beberapa lokasi lain yang dijadikan tempat persembunyian mereka.
JSJ difahamkan akan meneruskan operasi memburu suspek lain dan membuat beberapa serbuan serta rampasan hasil jenayah samun membabitkan kumpulan ini susulan kejadian berbalas tembakan tersebut.
Sumber: Berita Harian