Minggu ni, kerajaan baru umumkan bahawa Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bakal dilaksanakan semula dengan kerangka yang baru. Ia dilakukan secara dua fasa di mana fasa pertama melibatkan pelajar tingkatan empat manakala fasa kedua melibatkan lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang berumur antara 16 hingga 35 tahun.
Namun begitu, korang sebenarnya tahu tak pasal sejarah terciptanya PLKN ni? Kalau nak tahu, korang boleh baca artikel ni sampai habis.
Latar belakang PLKN
PLKN adalah sebuah program kenegaraan yang dijalankan setiap tahun di mana kira-kira 24% daripada remaja Malaysia yang berusia 18 tahun akan dipilih untuk mengikuti kursus selama tiga bulan di pusat PLKN di seluruh negara.
Pada 30 Oktober 2002, Jabatan Kabinet telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kerahan Tenaga untuk kaji kepentingan pelaksanaan bentuk kerahan tenaga.
Walau bagaimanapun, istilah ‘Kerahan Tenaga’ telah ditukar kepada ‘Khidmat Negara’ pada 12 November 2002 di mana empat Jawatankuasa Kecil telah ditubuhkan yang meliputi kewangan, kokurikulum, undang-undang dan logistik bagi program ini.
Artikel berkaitan: Hanya Dijalankan Selama 45 Hari, PLKN Bakal Libatkan Pelajar Tingkatan 4 & 5
Kemudian, Kabinet Negara telah meluluskan PLKN disusuli dengan Dewan Rakyat yang meluluskan Rang Undang-Undang Latihan Khidmat Negara pada 25 Jun 2003. Akhirnya, ia secara rasmi telah menjadi sebuah akta yang dipersetujui Dewan Negara. Pada 16 Februari 2004, ia telah dilancarkan dengan 26,000 remaja telah dipilih sebagai peserta siri pertama.
Objektif PLKN
- Meningkatkan semangat cintakan negara.
- Memupuk perpaduan kaum.
- Menerapkan diri dengan nilai-nilai murni.
- Meningkatkan semangat kesukarelaan.
- Melahirkan generasi muda yang cergas, cerdas dan berkeyakinan tinggi.
Modul Latihan
Dalam PLKN, pelajar akan didedahkan dengan empat modul iaitu, fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti.
1. Modul Fizikal
Modul ini akan menguji kemahiran dan ketahanan mental, emosi, spiritual dan fizikal peserta dalam menjadi warganegara yang berkesan. Secara khususnya, korang dapat mengeratkan perpaduan dalam kalangan peserta di samping meningkatkan ketabahan mental, daya kepimpinan, semangat kerjasama dan bermacam lagi.
Dalam modul ni juga korang akan peroleh pengalaman survival seperti kraf hutan, membaca peta, seni mempertahankan diri dan merempuh halangan. Ia dilaksanakan selama empat minggu di tapak perkhemahan.
2. Modul Kenegaraan
Sesuai dengan namanya, modul ni akan menyediakan peserta dengan pengetahuan kenegaraan di samping meningkatkan rasa cinta dan pengorbanan terhadap negara. Uniknya, modul ini merangkumi empat elemen iaitu tanah air, rakyat, kerajaan serta cabaran dalam dan luar negara.
Selain dapat belajar mengenai sistem pemerintahan dan urus tadbir negara, ia juga mampu menguatkan persefahaman dan kasih sayang antara masyarakat berbilang kaum. Ia diadakan selama tiga minggu dengan pelbagai aktiviti menarik seperti lakonan, lawatan dan mentafsir peristiwa.
3. Modul Pembinaan Karakter
Untuk modul ini pula, korang akan dididik dengan ciri-ciri karakter yang berkesan untuk diri, keluarga, komuniti dan negara. Ia juga mempunyai dua komponen yang menyentuh pembinaan diri sendiri dan juga karakter yang baik dengan orang lain.
Bagusnya modul ini adalah kerana ia dapat bantu korang untuk kenal kekuatan dan kelemahan diri dalam kehidupan. Bukan tu je, ia juga dapat tolong korang dalam kerja berpasukan serta hidup bermasyarakat. Tempoh modul ni berlangsung adalah selama dua minggu saja di mana pelatih akan diajar dengan kejujuran, kepimpinan dan kemahiran dalam membuat keputusan.
Artikel berkaitan: Dengan ‘Template’ Baru, Pelatih PLKN 3.0 Bakal Jalani Latihan Di Kem Tentera
4. Modul Khidmat Komuniti
Modul terakhir ini pula mengandungi lima komponen utama iaitu kemudahan awam, alam sekitar, kejiranan, khidmat sosial dan penempatan di Jabatan. Sudah tentu, benda yang korang akan belajar ialah mengenai khidmat sosial dalam masyarakat.
Dalam modul ni memang banyak aktiviti kemasyarakatan yang best-best seperti mengecat dewan orang ramai, menceriakan taman dan program anak angkat. Ada juga kegiatan gotong-royong dan membaiki fasiliti kemudahan awam.
Akan tetapi, PLKN telah ditangguhkan untuk beberapa tahun bagi menjimatkan kos negara sebelum dimansuhkan sepenuhnya bersama Biro Tata Negara pada 13 Ogos 2018.
Pelakasanaan PLKN semula
Berita baiknya, PLKN akan dilaksanakan semula namun tempohnya telah dipendekkan kepada 45 hari sahaja. Menariknya, ia diperbaharui dengan modul kombinasi iaitu latihan ala ketenteraan sebanyak 90% dan modul kenegaraan sebanyak 10%.
Ia akan dijalankan di kem-kem latihan milik kerajaan seperti Kem Latihan Polis DiRaja Malaysia dan 13 Kem Wataniah Angkatan Tentera Malaysia. Walau bagaimanapun, tarikh bermulanya PLKN kali ini masih belum diputuskan oleh kerajaan.
Korang dah ready ke belum kalau nama korang kena panggil?