Kita sememangnya digalakkan melakukan kebaikan sesama manusia di muka bumi ini. Bersedekah dan memberi kepada yang memerlukan adalah antara amalan yang dituntut di dalam Islam.
Bagi Cikgu Ghani Abd Ghani, apa yang sering menjadi pegangannya adalah sebanyak mana kita berkongsi, Allah tidak pernah mengurangkan buat kita.
Justeru, seorang pesara guru berusia 60 tahun sering membuat amal kebajikan bersedekah kepada golongan memerlukan. Baru-baru ini, beliau yang dikenali dengan nama panggilan ‘Cikgu’ dalam kalangan rakan di Facebook membuat satu projek sedekah 1300 ekor ayam dan sayur kepada golongan kurang berkemampuan.


Projek itu yang diadakan di perkarangan rumahnya di Kampung Masjid, Tikam Batu bermula seawal 6.00 pagi dan diagihkan kepada golongan wanita yang sudah berkahwin. Selain ayam, menurutnya rakan Facebook yang juga seorang pemborong sayur turut menyumbang sayur kangkung, bayam dan sawi setengah lori untuk diagihkan.
Menurutnya, ayam dan sayur tersebut selesai diagihkan hanya dalam masa 45 minit sahaja. Selain suri rumah, warga emas turut hadir untuk menerima sumbangannya itu.

Tindakannya yang sering bersedekah mendapat pujian daripada rakan-rakan di Facebook, apatah lagi jumlah sumbangan yang diberikan menggunakan perbelanjaan yang banyak hingga mencecah puluhan ribu ringgit.
Saya membelanjakan RM13,000 untuk projek hari ini dan kita seolah-olah membuat kenduri untuk 1,300 keluarga,” katanya.



Malah, sumbangan Ghani tidak hanya terhad kepada barang makanan sahaja. Antara sumbangan lain yang dihulurkannya adalah kerusi roda, cermin mata, kasut, alat ganti coupling katil hospital, motorsikal roda tiga, rehal kepada sekolah tahfiz serta macam-macam lagi.


Tidak kira pangkat atau harta, berbuat baiklah sesama manusia. Sesungguhnya dengan memberi kepada yang memerlukan itu akan membuat kita lebih bersyukur dengan apa yang kita ada dan semuanya datang dari Dia.
Kepada Cikgu Ghani, semoga projek amal kebajikan anda ini berterusan dan menjadi ikutan lebih ramai orang di Malaysia.