Sudah hampir seminggu isu mengenai seorang lelaki yang dicaj bayaran bagi seekor ikan siakap mencecah ribuan ringgit ketika makan di sebuah restoran di Langkawi berlegar di media sosial.
Isu ini telah menjadi perbualan hangat netizen yang mana ada pihak menyalahkan pemilik restoran kerana mengecaj bayaran tidak munasabah dan ada pula menyalahkan pelanggan kerana tidak bertanya mengenai jumlah bayaran terlebih dahulu.
Hangat membincangkan mengenai isu ini, ada pihak telah bertanya mengenainya kepada pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus sama ada wajar atau tidak tindakan peniaga terbabit menyediakan ikan tanpa persetujuan pelanggan.
“Kita perlu membeli terlebih dahulu kemudian barulah boleh dimakan”
Menerusi satu video di YouTube yang dimuat Ustaz Azhar Idrus sendiri, dia yang menerima soalan itu dalam sesi ceramah dan menjawab seperti di bawah.
Soalan:
“Biasanya sebuah keluarga seramai 5 hingga 7 orang akan memesan 2 ekor ikan seberat 1 kg hingga 2 kg. Bagaimana jika tanpa persetujuan pelanggan, ikan yang dipesan itu seberat 7 kg.”
Menurut Ustaz Azhar, sudah menjadi kelaziman untuk saiz hidangan ikan untuk dimakan 5 ke 7 orang ialah dua ekor ikan bersaiz sederhana.
Tapi pelanggan dan penjual juga perlu jelas dalam konsep jual beli supaya tidak ada yang merasa tertipu.
“Kita pergi makan, kita pesan ikan siakap seberat 1.5 kg hingga 2kg. Kemudian apabila ikan yang dipesan sampai dan dihidang, kita dapati ikan itu besar contohnya mencecah 7 kg.
“Apa yang perlu fahami ialah konsep asal jual beli ini. Hakikatnya kita perlu membeli terlebih dahulu kemudian barulah boleh dimakan.
“Contoh ayam goreng KFC, kita akan membayar dulu. Ia menjadi hak milik kemudian barulah ia dimakan. Itu asal konsep jual beli,” jelasnya.
Pesan lain dapat lain, jangan makan
Dalam pada itu, Ustaz Azhar juga menambah jika kita mendapat pesanan lain daripada apa yang kita order sebelum ini, sebaiknya jangan makan kerana ia menandakan kita bersetuju dengan saiz yang diberi.
Kalau kita pesan makanan (ikan) seberat 2 kg, peniaga hantar ikan 10 kg, maka jangan makan.
“Kalau kita makan juga, ia bermakna kita bersetuju dengan saiz ikan,” katanya.
Pihak penjual juga dinasihatkan supaya jangan mengambil kesempatan terhadap pelanggan dan menggunakan helah kerana ia haram disisi agama.
“Pihak penjual pula ambil kesempatan. Pelanggan buat pesanan (lain) tapi penjual masak dan hidang yang besar.
“Misalnya pelanggan pesan dua ekor ikan, tapi dihidang empat ekor ikan. Ini dipanggil helah. Helah itu hukumnya haram.
“Jangan main-main, nak berjual beli belajarlah dahulu supaya bila berniaga ia barakah,” katanya lagi.
Menerusi video itu juga ada perkara lain yang disentuh Ustaz Azhar ialah sikap peniaga yang menghidangkan makanan yang tak habis dijual dan lain-lain. Korang boleh tengok lebih lanjut di video atas.
Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Percatutan 2011 kepada peniaga restoran tersebut pada Sabtu lalu.
Peniaga katanya telah diberi tempoh 5 hari untuk menjawab beberapa perkara termasuklah kos ikan siakap, makanan dan minuman yang dinyatakan di dalam notis itu.
Apa-apapun sebelum membeli ikan di restoran seperti itu, korang risik-risik lah dulu harganya dan pastikan ‘poket tebal’ dulu sebelum membuat pesanan. Para peniaga pula sebaiknya ambillah teguran Ustaz Azhar sebagai panduan.
Baca: “Memang berbaloi, sedap, persekitaran cantik” – [VIDEO] DSV Terjah Restoran Siakap Kayangan Viral