Hujung minggu lalu, kita digemparkan dengan berita di mana bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ditembak dan cedera di bahagian telinga ketika sedang berkempen di Butler, Pennsylvania.
Suspek yang dikenali sebagai Thomas Matthew Crooks itu ditembak mati oleh Perkhidmatan Rahsia (Secret Service) beberapa saat selepas dia didakwa melepaskan tembakan ke arah pentas ketika Donald Trump sedang berucap.
Artikel berkaitan: Tembakan Dilepaskan, Cubaan Bun*h Donald Trump Ketika Kempen Pilihan Raya Republikan
Artikel berkaitan: Presiden US Pertama Disabit Kesalahan Jenayah, Ini Apa Yang Berlaku Kepada Donald Trump
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) berkata pihaknya sedang berusaha untuk menentukan motif serangan daripada pemuda 20 tahun itu dan difahamkan seorang peserta perhimpunan maut serta dua penonton lain cedera parah.
Menurut laporan NDTV, rekod pengundi negeri menunjukkan Thomas Crooks adalah seorang ahli Republikan berdaftar, pilihan raya pada 5 November ini merupakan kali pertama suspek mengundi untuk pemilihan presiden.
Difahamkan, suspek menunjukkan minat dalam politik ketika berusia 17 tahun dengan menderma AS$15 (RM70) kepada ActBlue yang merupakan platform pengumpulan dana untuk berkhidmat kepada ahli politik berhaluan kiri dan Demokrat.
Thomas Crooks merupakan graduan Bethel Park High School dan disifatkan sebagai seorang pelajar pintar dan pendiam.
Malah, dia pernah menerima $500 (RM2,334) serta ‘Anugerah Bintang’ daripada Inisiatif Matematik dan Sains Kebangsaan.
Video majlis graduasi 2022 tular di media sosial memaparkan Thomas Crooks menerima diploma sekolah tingginya dengan tepukan gemuruh, bagaimanapun agensi berita Reuters belum dapat mengesahkan kesahihan klip video tersebut.
Sumber: NDTV