Satu fenomena yang disifatkan sebagai luar biasa dan bersejarah dilihat bakal melanda Semenanjung Malaysia, ia dikenali sebagai Ribut Tropika Senyar di mana hujan akan turun dengan lebat secara berterusan, angin kencang serta laut yang bergelora hingga Sabtu ini.
Memetik laporan Berita Harian, Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan bahawa Senyar bergerak ke arah timur tenggara dan sudah memasuki Selat Melaka, ia dikesan berada di kira-kira 102 km ke belah barat daya Lumut, Perak sebelum bergerak ke kedudukan ke tempat lain.
Pada jam 11 pagi tadi, ribut itu dikhabarkan berada di 57km ke barat daya Sabak Bernam, Selangor dengan kelajuan angin maksimum yang mencecah 46 km/j.
Artikel berkaitan : Mesej Palsu Konon Dah Nazak Jejaskan Misi Bantuan Banjir Di Hatyai
Artikel berkaitan : Tiada Pilihan Lain, Anak Terpaksa Simpan May*t Ibu Dalam Peti Sejuk Akibat Banjir
Pertama kali dalam tempoh dua dekad
Pembentukan Ribut Tropika Senyar di Selat Melaka adalah kejadian yang sangat jarang berlaku dan ia menjadi tumpuan dalam dunia meteorologi.
Antara tiga faktor Ribut Tropika Senyar menjadi tumpuan:

- Pembentukan Luar Biasa: Kawasan Khatulistiwa seperti Selat Melaka lazimnya tidak menghasilkan daya pusaran (Kesan Coriolis) yang cukup kuat untuk membolehkan ribut tropika terbentuk dan kekal kuat.
- Sejarah: Kali terakhir fenomena sebegini berlaku adalah pada 2001 dengan pembentukan Taufan Vamei di kawasan berdekatan.
- Perkembangan: Senyar mula berkembang daripada sistem tekanan rendah yang berlegar-legar di Selat Melaka sejak 21 November lalu. Kekuatan ribut tersebut banayk bergantung kepada suhu permukaan laut di Selat Melaka di mana semakin panas air, semakin banayk tenaga yang dapat diserap oleh ribut.
Amaran hujan lebat sehingga 29 November

Susulan dengan peralihan lokasi Senyar, MetMalaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan serta Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora buat 9 negeri dan Wilayah Persekutuan (WP) bermula 27 November 2025 hingga 29 November 2025.
Malah terdapat beberapa kawasan yang berisiko tinggi ke tahap jingga (tahap buruk) bagi kawasan:
- Pulau Pinang
- Perak
- Selangor
- WP Kuala Lumpur
- WP Putrajaya
- Kedah (Kulim dan Bandar Baharu)
- Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Bentong)

Langkah awal juga diambil di negara India, yang mana pihak Jabatan Meteorologi India (IMD) ada mengeluarkan amaran hujan lebat di beberapa daerah seperti Tamil Nadu, termasuk Rameswaram, yang menyebabkan penutupan sekolah sebagai langkah berjaga-jaga.
Orang ramai terutamanya komuniti maritim dan penduduk yang berada di kawasan rendah dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga segera memandangkan potensi perubahan arah dan intensiti ribut boleh berlaku dalam tempoh yang singkat.
Menurut sumber, sehingga kini sekurang-kurangnya 107 maut di rantau ASEAN dengan kerugian yang dianggarkan melebihi AS$366 juta.
Langkah penting

Orang ramai dinasihatkan untuk elakkan melakukan aktiviti pantai dan laut, kerana laut dijangka bergelora dan berbahaya untuk kapal kecil.
Malah, mereka yang selalu berdepan dengan risiko banjir hendaklah sentiasa bersedia dan ketahui pusat pemindahan terdekat jika tinggal di kawasan-kawasan rendah atau berhampiran sungai.
Ikuti amaran dan nasihat terkini dari MetMalaysia melalui laman web, aplikasi myCuaca, atau hotline 1-300-22-1638 bagi memastikan maklumat yang diperoleh adalah tepat.
Sumber : Berita Harian
