Selain sinetron Indonesia, drama Filipina yang ditayangkan di TV3 dan saluran Astro juga pernah menjadi kegilaan ramai wanita dan remaja perempuan pada sekitar tahun 2000-an.
Jom kita imbau semula kenangan kita dan adik-beradik sama-sama berkumpul depan TV untuk tonton setiap episod dram-drama Filipina ini.
#1 Pangako Sa ‘Yo
Memang tak lengkap list drama Filipina ini kalau kita tak cakap tentang drama yang paling popular pada zaman itu iaitu Pangako Sa ‘Yo lakonan Kristine Hermosa dan Jericho Rosales.
Jericho Rosales time tu memang jadi kegilaan bukan sahaja remaja wanita, malah juga mak-mak kita kerana wajahnya yang kacak.
Drama 481 episod ini mengisahkan tentang kisah percintaan Maria Amor atau dipanggil Yna oleh keluarga angkatnya dan Angelo yang dihalang oleh keluarga Angelo kerana ibunya, Claudia yang bersikap kejam terhadap orang susah.
Paling best, drama ini juga mempunyai versi remake pada tahun 2015 yang diterajui pelakon yang lebih muda iaitu Daniel Padilla dan Kathryn Bernardo.
#2 Be Careful With My Heart
Ditayangkan pada tahun 2012, drama bersiri yang mempunyai empat musim ini pula menceritakan Maya dela Rosa yang bercita-cita mahu menjadi seorang pramugari.
Namun, kemiskinan keluarganya menyebabkan dia terpaksa melupakan impiannya itu buat seketika kerana perlu bekerja untuk menyara keluarganya.
Memandangkan dia tidak mempunyai pilihan lain selepas ditipu, dia terpaksa bekerja sebagai pengasuh anak bongsu seorang duda kaya yang dikenali sebagai Richard Lim.
Kerjanya mula menjadi mencabar apabila Maya jatuh cinta dengan majikannya itu.
#3 Stairway to Heaven
Drama yang telah ditayangkan pada 2009 ini sebenarnya merupakan drama adaptasi dari Korea Selatan dengan tajuk yang sama.
Ia mengisahkan tentang Cholo Fuentebella lakonan Dingdong Dantes dan Jodi Reyes lakonan Rhian Ramos yang berkawan baik sejak zaman kanak-kanak lagi.
Apabila dewasa, mereka berdua jatuh cinta antara satu sama lain namun terhalang kerana kejahatan adik tiri Jodi.
Dindong Dantes juga menjadi kegilaan ramai pada zaman itu dek kerana kekacakannya.
#4 Sana’y Wala Nang Wakas
Drama ini turut menampilkan Jericho Rosales dan Krtistine Hermosa sebagai watak utama.
Ditayangkan pada 2003, ia mengisahkan tentang gadis yang berasal dari keluarga miskin (Ara) yang terperangkap di sebuah pulau terasing dengan lelaki kacak dan kaya (Christian).
Ketika terperangkap di pulau itu, mereka berdua jatuh cinta namun setelah diselamatkan, mereka terpaksa kembali ke realiti dimana status keluarga masing-masing menjadi halangan.
Walau bagaimanapun, Christian tetap berjanji akan tetap mencintai Ara namun dia masih tidak mengetahui kebenaran bahawa keluarga Ara terlibat dengan kisah silamnya yang menyakitkan.
Drama ini juga telah diadaptasi ke drama Melayu iaitu Cinta Tiada Ganti lakonan Aedy Ashraf dan Nelydia Senrose pada 2018.
#5 The Legal Wife
Kisah ini bermula dengan kehidupan dua sahabat baik, Monica dan Nicole yang kedua-duanya dahagakan kasih sayang seorang ayah.
Untuk pengetahuan semua, drama Isteri Halal lakonan Uqasha Senrose dan Isyariana yang ditayangkan di Astro baru-baru ini adalah adaptasi daripada drama Filipina ini.
#6 It Might Be You
Drama 109 episod ini pula mengisahkan cinta romantis antara anak datuk bandar, Lawrence dan gadis yang yatim piatu bernama Cielo.
#7 Got to Believe
Drama tahun 2013 yang mempunyai 140 episod ini juga turut menampilkan gandingan Daniel Padilla dan Kathryn Benardo.
Ibu Joaquin (Daniel Padilla) telah mengambil Chichay (Kathryn) bekerja sebagai pengasuh Joaquin kerana remaja lelaki itu tidak dapat hidup normal seperti remaja lain setelah terlibat dalam satu insiden ketika kanak-kanak.
Kedua-dua mula rapat dan berkawan baik namun kisah lalu Joaquin dan masa lalu kedua-dua ibu bapa mereka menjadi halangan.
Tak sangka betul dulu kita boleh layan drama sampai beratus-ratus episod! Gigih betul tengok episod baru hari-hari kan.