Negeri Perlis membenarkan ibadah korban sempena perayaan Hari Raya Aidiladha dijalankan dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) dan hanya boleh dilakukan di pusat sembelihan.
Lapor Astro Awani, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa semua masjid hanya dibenarkan untuk mengelola ibadah korban. Manakala ibadah korban yang dijalankan oleh agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) adalah tertakluk kepada keadaan penularan dan perkembangan wabak semasa.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh baginda menerusi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini, pelaksanaan ibadah korban hanya boleh dilakukan di rumah sembelihan milik kerajaan dan swasta serta premis persendirian yang mendapat kelulusan Jabatan Perkhimatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis dan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs).

Titah baginda lagi yang juga Yang Dipertua MAIPs, mana-mana pihak yang ingin mengelola ibadah korban hendaklah mengemukakan borang permohonan ibadah korban 1442H/2021M negeri Perlis kepada Bahagian Dakwah dan Takmir JAIPs selewat-lewatnya tujuh hari daripada tarikh 10 Zulhijjah 1442H (20 Julai).
Selain itu, pihak yang mengelola dan menghadiri pelaksanaan ibadah korban perlulah mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 sebagai langkah pencegahan.
Dalam pada itu, aktiviti jamuan kenduri adalah tidak dibenarkan.
“Sebagai langkah persediaan untuk solat Aidiladha di tanah lapang, pengurusan masjid adalah diminta untuk melaksanakan persiapan awal dan mengambil langkah-langkah proaktif,” titah baginda.
Sumber: Astro Awani