Bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, 62, meluahkan tidak berupaya untuk hamil merupakan kesedihan terbesar dalam hidupnya.
Perkara itu dikongsikan Pelakon Wanita Terbaik Oscar 2023 apabila dia baru-baru ini diajukan soalan mengenai cahaya mata.
Dalam usia lewat 20-an ketika namanya sedang meningkat naik, Yeoh berkata dia sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga.
Artikel berkaitan: 19 Tahun Jalin Hubungan, Michelle Yeoh Sah Bergelar Isteri Kepada Ahli Perniagaan Dari Perancis
Artikel berkaitan: “Anak ke cucu?” – Michelle Yeoh Kongsi Foto Kaki Baby Curi Tumpuan Netizen
Yeoh bagaimanapun menyedari dirinya tidak mampu hamil sepanjang mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Dickson Poon selama lima tahun pada 1988 hingga 1992.
“Barangkali ini perkara paling menyedihkan dalam hidup ini, iaitu saya tidak mampu memiliki anak sendiri,” katanya.
Namun, Yeoh bersyukur kerana meskipun ditakdirkan tidak memiliki cahaya mata, dia masih berpeluang menjadi ibu angkat kepada enam orang anak, termasuk anak perempuan bekas suaminya.
“Saya tidak hidup dalam penyesalan sebab saya memberi 110 peratus (untuk hamil). Saya sudah buat apa yang termampu, namun, kadang kala ia tidak mencukupi.”
Yeoh yang berkahwin dengan Jean Todt yang juga ahli perniagaan dari Perancis pada tahun lalu, mengakui faktor kegagalan mendapatkan zuriat walaupun sudah menjalani rawatan kesuburan menyebabkan rumah tangga dengan bekas suaminya terdahulu musnah.
“Kami melakukan semua yang diperlukan untuk memiliki anak. Malangnya, saya tidak mampu.
“Bekas suami mahukan keluarga besar, bukan seorang anak lelaki tetapi dua atau tiga orang sebagai pewaris,” katanya.
View this post on Instagram
Terdahulu, Yeoh mengundang tanda tanya orang ramai selepas berkongsi foto memegang kaki bayi di Instagramnya. Dia kemudian menjelaskan bahawa bayi tersebut adalah cucunya yang bernama Maxime.
Sumber: Malay Mail