Perjuangan anak muda dalam politik kurang mendapat perhatian kerana parti yang sebelum ini ditubuhkan didominasi oleh golongan yang lebih tua.
Walau bagaimanapun, parti-parti politik sedia ada masih tidak mengetepikan golongan belia. Dengan mewujudkan sayap parti untuk orang muda, mereka secara tidak langsung mampu menjadi penguat kepada sesebuah parti khususnya untuk memikat hati pengundi muda.
Tapi korang tau tak sebelum ni dekat Malaysia sendiri ada cubaan untuk mewujudkan parti anak muda namun terkandas di pertengahan jalan?
Untuk pengetahuan korang, dalam sejarah Malaysia ada tiga parti yang dipelopori oleh anak muda yang pernah ditubuhkan tetapi mendapat tentangan dan kemudiannya dibubarkan.
Ini adalah tiga parti anak muda tersebut;
1. Angkatan Pemuda Insaf (Awakened Youth Organization)
Angkatan Pemuda Insaf (API) telah ditubuhkan pada 17 Februari 1946 di Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh, Perak. Pengerusinya yang pertama ialah Abdullah Sani bin Tengku Kecil.
Menurut sumber, API merupakan sebuah pertubuhan politik yang berpengaruh dalam kalangan masyarakat Melayu terutamanya dalam tahun-tahun awal perjuangan menentang penjajah Inggeris.
Penubuhan API pada ketika itu mendapat sokongan kuat dari Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang merupakan antara parti yang mempunyai objektif yang sama iaitu untuk menentang pemerintahan barat.
Istilah ‘insaf’ yang digunakan dalam nama parti ini adalah bertujuan untuk menyampaikan konteks ‘sedar’ kepada penduduk tanah Melayu pada ketika itu.
‘Sedar’ dalam konteks API itu berkemungkinan besar merujuk kepada kesedaran tentang nasib anak-bangsa yang ditindas dan dilayan secara tidak adil oleh penjajah Inggeris.
Tujuan penubuhan API adalah;
- Menyatukan pemuda-pemuda insaf dalam satu barisan.
- Mengukuhkan barisan perjuangan untuk bangsa dan tanah air.
- Memberi latihan siasah, rohani dan jasmani kepada pemuda-pemudanya supaya bersedia menjadi pemimpin bila dikehendaki.
- Menuntut perwakilan dalam pemerintahan Malaya.
API pada ketika itu benar-benar mampu mempengaruhi golongan muda. Dalam masa setahun, seramai 10,000 hingga 15,000 orang muda berjaya ke seluruh negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu.
Menurut laporan risikan British, antara negeri-negeri yang mempunyai pengaruh yang besar API adalah di Melaka, Perak, Pahang, dan Kelantan.
Namun perjuangan mereka terhenti pada 30 Jun 1947. API diharamkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya, Sir Edward Gent atas alasan…
“API telah digunakan dan kemungkinan akan digunakan untuk tujuan yang tidak selari dengan keamanan, kestabilan dan kebajikan Malaya”
2. Ikatan Pemuda Tanah Ayer Malaya (PETA)
Sumber mengatakan, PETA merupakan sebuah gerakan pemuda radikal yang ditubuhkan di Temerloh, Pahang pada September 1947 selepas pengharaman API.
Pembubaran API sangat memberi kesan kepada tanah Melayu kerana kehilangan satu barisan pemuda yang berani menentang penjajahan.
Oleh itu, penubuhan organisasi pemuda baharu PETA ini merupakan idea daripada beberapa orang aktivis pemuda anggota PKMM, bekas-bekas anggota API dan gerakan pemuda progresif lain.
Diketuai oleh Wahi Anuar, PETA kemudiannya mengadakan satu kongres pemuda dan perarakan yang melibatkan para perwakilan pemuda kongres dan para penyokong yang diadakan di Temerloh.
Perarakan tersebut mendapat tentangan dari sepasukan anggota polis yang terdiri daripada orang Melayu yang telah dipergunakan oleh penjajah.
Namun atas tekanan daripada pihak British, PETA hanya mampu bertahan seketika dan dibubarkan pada awal tahun 1948.
3. Pemuda Radikal Melayu (Malay Radical Youth)
Perjuangan PKMM masih tidak terhenti selepas pembubaran API dan PETA. Pada 17 Januari 1948, sebuah lagi parti belia diwujudkan iaitu Pemuda Radikal Melayu (PERAM).
Parti ini telah menghimpunkan pemuda-pemuda Melayu kiri di Malaya dan Singapura dalam perjuangan untuk menuntut kemerdekaan dari penjajah British.
Menurut sumber, selepas sebulan penubuhan PERAM, parti ini telah mengeluarkan sebuah manifesto yang menyeru anak muda Melayu untuk bersatu dan berjuang untuk kemerdekaan Malaya.
Pada masa yang sama, PERAM turut sama membantah Perlembagaan Federation yang digubal oleh penjajah dengan kerjasama UMNO dan Raja-raja Melayu, dan menyokong Perlembagaan Rakyat yang disusun oleh PUTERA-AMCJA.
Malangnya parti ini tidak mampu bertahan lama. PERAM telah dibubarkan oleh penjajah British di bawah undang-undang Darurat pada 22 Disember 1948.
Baca: “Takkan berjaya” – Tun M Anggap Usaha Syed Saddiq Tubuh Parti Baharu Untuk Orang Muda Hanya Sia-Sia