Kelap kelip di sangka api, kalau api di mana puntungnya? Hilang ghaib disangka mati, kalau mati di mana kuburnya?
Meskipun ayat-ayat di atas hanyalah pantun, namun ia membawa maksud yang sangat mendalam bagi mereka yang berdepan dengan situasi ‘kehilangan’ orang yang tersayang.
Perkara inilah yang dialami seorang cucu bernama Nur Zafirah Mohamad Radzai apabila datuknya, Tamam Ahmad, dilaporkan hilang secara tiba-tiba ketika keluar ke bank untuk mengambil wang pencen pada Mei 2012 lepas.
Menurut mStar, selepas hampir 10 tahun berlalu, kisah ini masih menjadi ‘misteri’ buat keluarga mereka kerana bukan saja jasad warga emas ini tidak ditemui tetapi kereta Perodua Kancil yang dipandunya juga ghaib bersama-sama hingga ke hari ini. Allahu…
“Dia tak sakit, masih kuat dan tak nyanyuk”
Zafirah yang pada asalnya berkongsi kisah ini di Twitter memberitahu, Tamam yang berusia hujung 60-an itu menetap di Kampung Nelayan, Kuala Perlis dan kisahnya pernah dikongsikan akhbar tempatan sebelum ini.
Pada hari kejadian, datuknya dikatakan keluar pada waktu pagi dan memandu seorang diri ke bank di Kuala Perlis.
Ketika Tokwan hilang 2012, saya berumur 18 tahun. Tokwan waktu tu usianya dalam penghujung 60an. Setakat yang kami semua tahu, dia tak sakit, masih kuat dan tak nyanyuk.
“Pagi tu, dia keluar rumah seorang diri pergi bank sebab nak ambi duit pencen. Tokwan memang boleh drive.
“Sesampainya di bank, malangnya duit pencen tak boleh dikeluarkan sebab tiada kad pengenalan. Kad pengenalan tokwan hilang,” ceritanya.
“Dia keluar semula namun terus tak pulang-pulang”
Pun begitu, Tamam dilaporkan pulang semula ke rumah dan meminta RM10 daripada makciknya tanpa diketahui untuk kegunaan apa.
“Dia balik semula ke rumah. Ketika itu ada makcik saja, pakcik saya kerja. Menurut cerita makcik, tokwan minta RM10 tapi tak beritahu nak buat apa.
“Selepas makcik bagi duit, dia keluar semula namun terus tak pulang-pulang hinggalah ke hari ini,” katanya lagi.
Menurut Zafirah, datuknya yang juga seorang pesara kerajaan tidak muncul-muncul hinggalah ke lewat malam dan akhirnya makcik wanita ini membuat laporan polis.

Seluruh ahli keluarganya termasuklah ibunya yang menetap di Kuantan, Pahang pulang ke Perlis untuk sama-sama mencari. Pun begitu didapati tokwannya rupanya tidak pergi semula ke bank selepas meminta wang daripada makcik.
“Mak pergi tanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di pekan Kuala Perlis tapi pegawai sana beritahu tiada pula tokwan datang nak buat kad pengenalan.
“Mak ada tanya imigresen sebab terfikir tokwan pergi Siam, pun tak ada. Adik beradik cari merata termasuk di kandang lembunya tapi tak ada orang. Orang kampung yang tinggal berdekatan kandang pun kata tokwan lama dah tak datang.
“Anehnya dengan kereta sekali ghaib. Kami periksa maklumat di JPJ untuk cari petunjuk, namun maklumat pembaharuan roadtax kali terakhir adalah pada 2012 juga,” katanya.

“Kami tak pernah habis ikhtiar meski polis dah tutup kes”
Walaupun sudah hampir 10 tahun berlalu, mereka sekeluarga tidak pernah habis berikhtiar dalam mencari keberadaan datuknya termasuklah menggunakan kaedah perubatan Islam.
Kami tak pernah habis ikhtiar meskipun polis dah tutup kes. Kami ikhtiar pergi jumpa ustaz. Menurut ustaz, tokwan masih ada, tapi dia nyanyuk.
“Kata mereka, orang yang jaga tu tokwan kenal. Setiap kali pergi jumpa ustaz yang berbeza, benda yang sama mereka sampaikan. Malah naluri mak, satu-satunya anak perempuan tokwan, kuat mengatakan tokwan masih ada,” katanya lagi.
Lalu dengan menghebahkan ke Twitter merupakan jalan terakhir dilakukannya sebelum keluarga mengambil keputusan untuk isytihar kes kehilangan datuknya ini sebagai kes kematian mengikut Seksyen 108 Akta Keterangan 1950.
https://twitter.com/fyraaradzaii/status/1453301765923803140
Apa-apapun jika korang ada info mengenai mangsa bolehlah hubungi Zafirah untuk lebih lanjut. Diharapkan keluarga ini menemui jawapan disebalik 10 tahun kehilangan misteri datuknya ini.
Baca: Gabby Petito: Polis Jumpa Mayat Dipercayai YouTuber Yang Hilang Lepas Pergi Road Trip Dengan Tunang