Penyanyi rap wanita, Zamaera berkongsi detik cemas dia telah dirakam secara rahsia oleh seorang pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika sedang menerima khidmat urutan di SS14, Subang Jaya, baru-baru ini.
Zamaera atau nama penuhnya Sharifah Zamaera Al Edros Syed Zafilen yang menceritakan pengalaman mencemaskan itu mendakwa pegawai terbabit telah memasuki premis terbabit serta merakam video dirinya yang hanya ditutupi dengan tuala.
Menurutnya, ketika kejadian dia berada di bilik nombor tujuh sebuah pusat urutan sebelum beberapa lelaki tampil mendakwa mereka sebagai pegawai penguat kuasa.
Katanya, ketika itu kedengaran sekumpulan pegawai terbabit membuat bising namun dirinya cuba mengabaikan keadaan berkenaan kerana mahu menikmati sesi urutan itu.
Namun, dia mendapati melihat kelibat seorang pegawai masuk ke biliknya dan mendakwa merakam dirinya tanpa izin.
“Ketika saya mempersoalkan tindakan merakam itu, pegawai terbabit memberi alasan rakaman berkenaan adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) PBT.
“Bahagian mana dalam menceroboh privasi pelanggan dengan merakam mereka dalam keadaan tidak berpakaian boleh dianggap beretika?” soalnya.
Namun pegawai itu menafikan insiden itu dan mendakwa tiada rakaman video dibuat walaupun dirinya sendiri melihat pegawai itu merakamnya.
View this post on Instagram
Zamera juga mempersoalkan SOP yang dilakukan pihak berkuasa, sepatutnya perlu membuat pengumuman dan bukannya bertindak melanggar privasi seseorang.
Susulan insiden itu, Zamaera telah membuat laporan polis bagi menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pegawai yang terlibat.
Dia juga menggesa agar SOP operasi sedemikian disemak semula bagi memastikan privasi pelanggan tidak dilanggar sebegitu.
Sumber: Instagram, Berita Harian