Bekas pengarah syarikat Richworks International Sdn. Bhd, Datuk Zafrol Rizal Mat mengemukakan tuntutan saman terhadap pengasas syarikat itu, Datuk Azizan Osman dan isterinya, Hasdiana Ahmad bersama 2 lagi individu berjumlah lebih daripada RM 24 juta.
Zafrol Rizal atau lebih dikenali sebagai Jerry Rizal yang juga selaku plaintif mengemukakan tuntutan tersebut menerusi satu notis writ saman yang difailkan kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis lalu.
Artikel berkaitan : “Siapalah saya untuk diberikan ucapan sebegitu” – Dr Azizan Terharu Dihadiahkan Ucapan Hari Jadi Di Billboard Di PLUS
Artikel berkaitan : Ini Antara 5 Kontroversi Yang Pernah Berlaku Sejak DS Sanusi Jadi MB Kedah
Menurut sumber, beliau menamakan Richworks Academy Sdn. Bhd. (RASB), Azizan, Hasdiana dan kakak iparnya iaitu Hasnita Ahmad selaku Pengarah Eksekutif sebagai defendan dalam tuntutan berkenaan.
Dalam pemfailan tersebut, ada 18 tuntutan dan ia merangkumi pendapatan, pendahuluan pinjaman, tunggakan kad-kad kredit, perbelanjaan untuk hartanah di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah, terapi dan persekolahan anak Azizan serta ganti rugi teladan, ganti rugi am, teladan dan ganti rugi teruk.
Dalam pada itu, beliau juga menuntut pengesahan daripada pihak defendan secara bersama atau berasingan bagi pemilikan harta atau pindah milik hartanah melibatkan sebuah Toyota Alphard, Ferrari Roma, sebuah unit kondominium di Sri Hartamas, Kuala Lumpur, jam tangan Hublot Spirit of Big Bang dan Rolex Datejust serta cincin Habib Jewels satu karat.
Jerry Rizal turut menetapkan kadar faedah sebanyak 5 peratus dari tarikh pemfailan writ itu dikeluarkan sehingga tarikh penyelesaian penuh dibuat.
Dalam Pernyataan Tuntutan, Jerry Rizal menyatakan bahawa pihaknya telah memberikan wang pinjaman atau pendahuluan kewangan kepada RASB sebanyak RM1.32 juta melalui cek bertarikh 21 Disember 2022 dan 19 Disember 2023 selain RM620,000 bagi pembayaran cukai pendapatan Hasdiana.
“Terdapat pendahuluan diberikan atau dimanfaatkan RASB atas pelbagai tujuan mencecah RM203,828.98 bagi tujuan seperti pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan, ansuran bulanan dan cukai jalan Mercedes GLB milik RASB dan lain-lain.”
“Kad-kad kredit plaintif juga digunakan bagi membiayai sebahagian kos operasi harian RASB sejak 2021. Namun terdapat tunggakan penggunaan atau caj mencecah sekitar RM1.6 juta.”
Bahkan, beliau memberitahu bahawa mereka membelanjakan wang tersebut untuk manfaat peribadi Hasnita antara 2018 hingga 2023 seperti penjagaan anaknya termasuklah yuran bagi sesi terapi dan persekolahan yang berjumlah RM396,551.80.
“Plaintif memplidkan, perbelanjaan tersebut diberikan secara non-gratuitous yang mana perbelanjaan-perbelanjaan tersebut adalah dalam pengetahuan atau sepatutnya dalam pengetahuan Hasnita.”
“Dokumen-dokumen berkenaan perbelanjaan ini akan dikemukakan ketika perbicaraan kelak.”
Dalam pernyataan sama, Jerry Rizal mendakwa dirinya dilantik sebagai Pengurus Besar (General Manager) sekitar 2011 sebelum dinaikkan pangkat sebagai pengarah bagi operasi serantau syarikat pada 2013.
“Plaintif memplidkan, walaupun jawatan yang disandang tersebut adalah sebagai pengarah, namun syarikat tidak mendaftarkan namanya sebagai pengarah dalam daftar syarikat RASB di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.”
Namun begitu, beliau mendakwa bahawa jawatan itu hanyalah pada nama semata-mata tanpa sebarang pendaftaran rasmi di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Sumber : Utusan