Sebagai seorang pelajar, kemudahan dorm ini sangat diperlukan lagi-lagi kalau pelajar tu berasal dari luar negeri. Namun, dengar cerita masih ada pelajar yang belum dapat dorm lagi. Betul ke?
Macam baru baru ini, pelajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berkongsi nasib mereka apabila tidak mendapat kemudahan penempatan di dalam kampus. Kira-kira seramai 1000 pelajar masih belum mendapat penempatan, lapor sumber.
ADUN Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min berkata beliau telah mendapat pelbagai aduan dari pelajar UUM yang masih belum mendapat penempatan di dalam kampus walaupun telah mendaftar sejak Ogos lalu.

Apabila pelajar bertanyakan tentang status penempatan mereka. Pihak universiti akan menjawab, “Kamu (pelajar) kena bersabar sebab pendaftaran masih di dalam proses.”
Memandangkan kuliah yang akan bermula pada minggu ini, ramai pelajar yang sudah kembali ke kampus walaupun masih belum mempunyai penempatan. Mereka terpaksa menumpang tidur di bilik rakan ataupun tidur di surau dan koridor di dalam kampus.
“Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku pada IPT. Pihak UUM patut mengambil tindakan yang wajar untuk pelajar yang tidak mendapat penempatan. Membiarkan pelajar tidur di tempat yang terbuka dan tidak sepatutnya adalah bahaya dan tindakan ini tidak bertanggungjawab,”ujar Ooi.
Tambah beliau, kawasan sekeliling agak terpencil dan tiada rumah sewa untuk pelajar yang membuatkan mereka tiada pilihan lain selain mendapatkan penempatan di dalam kampus.

Perkara ini berlaku kerana pengambilan pelajar yang berlebihan tanpa perancangan dan persediaan awal. Hal ini juga telah menjadi hal yang biasa berlaku di universiti awam.
Jika penempatan pelajar tidak mencukupi, pihak universiti sepatutnya mengadakan kelas secara atas talian untuk mengelakkan perkara ini dari berlaku.
Ooi menggesa agar pihak UUM mengambil tindakan segera untuk menjaga kebajikan pelajar mereka dan kerajaan harus mengambil inisiatif membina lebih banyak penempatan untuk mewujudkan suasana yang lebih kondusif dan selesa untuk pelajar.
Baca : Hangat Isu Rumah Sewa, UiTM Tubuh Jawatankuasa Bantu Pelajar Cari Penempatan

