Dengan mencatatkan 279,000 kes positif dan lebih 10,000 kematian akibat wabak Covid-19, Indonesia kini menjadi negara kedua di Asia Tenggara paling ramai dijangkiti selepas Filipina.
Rentetan itu, Menteri Kesihatan Indonesia sudah semestinya bertanggungjawab dalam menguruskan pandemik yang berlaku di negara itu.
Namun, Dr. Terawan Agus Putranto dilihat seakan tidak muncul dalam menangani wabak ini sehingga digelar Menteri Kesihatan paling ‘low profile’ di dunia.
Susulan itu, satu rancangan tempatan, Narasi.tv telah menayangkan satu sesi bual bicara berani mati dengan menemu bual ‘kerusi kosong’ yang diibaratkan seperti Menteri Kesihatan mereka.
Rancangan Catatan Najwa yang dikendalikan oleh Najwa Shihab itu dikatakan telah menjemput Dr. Terawan beberapa kali untuk berbahasa tentang isu ini. Namun, beliau masih tidak hadir sehingga rancangan tersebut dengan sinis menemu bual kerusi kosong.
“Mengapa menghilang Pak?” – Najwa Shihab
Pada sesi temu bual tersebut, Najwa mengajukan pelbagai soalan tentang keadaan Covid-19 di Indonesia yang semakin parah. Antara soalan yang diajukan adalah…
“Mengapa menghilang, Pak?. Anda minim (jarang) sekali muncul di depan publik (umum) memberi penjelasan selama pandemik.”
“Pak Terawan sampai sekarang kondisi pandemik belum juga terkendali. Data dan angka jelas menunjukkan itu. Di saat negara lain sudah beransur-ansur bisa memperlonggar situasi, kenapa kita tertinggal”
Najwa juga bertanyakan soalan sinis berkenaan perletakan jawatan Menteri Kesihatan dari negara lain apabila gagal menangani situasi ini.
“Pak Terawan ada banyak Menteri Kesihatan yang mundur (letak jawatan) kerana penanganan Covid-19. Contohnya, New Zealand, Brazil dan Pakistan.”
“Soalan saya, apakah penanganan kita lebih baik dari negara-negara yang Menteri Kesihatannya mundur itu?. Sedia mundur Pak?”
Temu bual ‘ghaib’ yang berdurasi 4:21 minit itu telah mendapat lebih 200,000 tontonan dan ramai yang menganggap itu adalah tindakan yang berani.
Untuk video penuh, boleh tonton di YouTube.
Ini lain level punya savage ni. Min tengok pun bertubi-tubi soalan Najwa ni bagi. Fuhh