Seorang pemilik kedai telefon bimbit di Taman Impianku, Kuantan berdepan detik mencemaskan apabila hampir dikelar oleh seorang wanita warga Myanmar yang bertindak agresif secara tiba-tiba dalam kejadian petang tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian rompak bersenjata di premis tersebut pada jam 3.41 petang. Berdasarkan keterangan mangsa, kejadian bermula apabila suspek datang ke kedainya untuk membeli tambah nilai prabayar sebanyak RM30 dan membuat bayaran secara tunai.
Memetik laporan Malaysia Gazette, mangsa yang curiga dengan keadaan suspek yang kelihatan tidak terurus cuba berbual dengannya dan bertanya dari mana dia datang. Suspek kemudian memberitahu bahawa dia datang dari Johor Bahru. Tidak lama selepas itu, suspek meminta bantuan untuk mengecas telefon bimbitnya dan mangsa bersetuju lalu mengambil telefon itu untuk dicas di kaunter.
Namun, ketika mangsa membelakangi suspek, wanita tersebut tiba-tiba mengeluarkan pisau jilet dari beg galasnya dan mengacukannya ke arah leher mangsa. Menyedari bahaya tersebut, mangsa segera menepis tangan suspek dan berlaku pergelutan di antara mereka. Dalam kekecohan itu, mangsa berjaya meminta bantuan orang awam. Suspek kemudiannya berjaya dikurung dalam premis berkenaan sementara rakan mangsa menghubungi pihak polis dan ambulans.
Wan Mohd Zahari memaklumkan bahawa mangsa hanya mengalami kecederaan kecil akibat hirisan di leher dan kaki kiri.
Hasil siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana dikatakan tersinggung dengan kata-kata tidak sopan yang dikeluarkan oleh mangsa semasa menunggu telefon bimbitnya dicas.
Suspek telah ditahan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan senjata berbahaya serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Baca: Bergaduh Sebab Ungkit Kisah Lama Punca Suami Kel*r Isteri