Kadangkala kehidupan yang sibuk membuatkan kita tiada pilihan lalu terpaksa mengambil khidmat pembantu rumah untuk memudahkan kerja-kerja yang tergendala. Pun begitu, kepercayaan seorang majikan dalam mengambil pembantu ini bekerja di rumahnya tercalar apabila pembantu tersebut telah mengasari dan merompak mereka.
Tak kenang dek untung betul!
Menurut Straits Times, setahun yang lepas sepasang suami isteri dari Singapura telah mengambil seorang pembantu dari Indonesia bernama Eko Alviah, 30, untuk menjaga bapa mereka yang terlantar sakit.
Namun setelah setahun bekerja, pembantu rumah tersebut telah mengugut mangsa, Chew Seng Mung, 60, yang menghidap penyakit Parkinson dengan meletakkan gunting pada tengkuknya untuk memberi nombor PIN kepada kad ATM milik majikannya itu.
Wanita itu juga dengan beraninya mengugut untuk memotong puting mangsa jikalau dia tidak memberikan nombor PIN tersebut. Woi gila betul ni!
Sungguhpun takut dengan ugutan suspek, mangsa tetap memberikan nombor PIN yang palsu. Sebaik saja mendapatkan apa yang diinginkan, suspek telah mengikat mangsa dan menyumbat mulutnya dengan pita pelekat untuk mengelakkan mangsa membuat bising.
Dia seterusnya menguncikan mangsa ke dalam bilik tidur dan memaksa lelaki tersebut membuka laci yang berkunci di dalam bilik utama untuk mencari pasport miliknya.
Tidak berpuas hati dengan apa yang didapatinya, Eko juga telah mencuri sekotak barang kemas bernilai S$2,648 yang bersamaan dengan RM8,355 keseluruhannya dan juga wang tunai sebanyak S$100 (RM315) di meja ruang tamu. Dia kemudian melarikan diri dari flat di Woodlands tersebut bersama hasil curiannya.
Sakit hati kerana tidak berjaya mengeluarkan wang dari kad ATM Chew di Woodlands North Plaza, Eko akhirnya bercadang untuk pulang ke Batam, Indonesia dengan menaiki feri pada jam 11 pagi. Dalam pada itu, dia sempat juga menjual hasil curiannya sebanyak S$140 (RM441). Sikitnyaa!
Walau bagaimanapun, syukurlah Chew dapat diselamatkan anak lelakinya yang pulang ke rumah. Sungguhpun begitu, mangsa telah meninggal dunia tidak lama selepas itu oleh kerana penyakitnya.
Tujuh bulan kemudian, Eko yang tinggal di Indonesia sudah mula kehabisan wang. Dia kembali bercadang untuk pulang ke Singapura untuk mencari pekerjaan. Atau mencari mangsa terbaru?? Hmm…
Eko cuba menyertai agensi pembantu rumah pada Februari lepas namun dia gagal selepas laporan kesihatannya menyatakan dia tidak cukup sihat untuk bekerja di Singapura.
Namun akhirnya Eko berjaya mendapatkan pekerjaan secara sulit dan memohon pasport baru untuk kembali bekerja di Singapura. Namun impiannya tergendala apabila wanita tersebut akhirnya tertangkap pada 9 Mei lepas semasa dia tiba di imigresen.
Eko juga dilaporkan telah mencuri wang sebanyak S$700 (RM2,208) dari dompet Chew pada Disember 2015 lepas. Dia mengaku bersalah kepada tiga pertuduhan terhadapnya. Menurut Hakim Daerah Chay Yuen Fatt,
Dia mengambil kesempatan di atas usia, ketidakupayaan dan kelemahan mangsa untuk melakukan kesalahan yang mana ia sangat mementingkan diri sendiri dan tiada belas kasihan.”
Eko telah dijatuhkan hukuman penjara selama 50 bulan dan 12 minggu sebagai ganti sebatan.
Berhati-hatilah kalau nak ambil pembantu rumah nanti ye!
Baca: Warga Emas Dibunuh Pembantu Rumah, Ditekup Bantal dan Digigit Anjing