in

Pelancong China Menangis Terharu Dibantu Seorang Pakcik, Rupanya Ini Kisah Di Sebalik Video Tular Itu

pakcik tular tolong pelancong china

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Malaysia sememangnya terkenal dengan sikap prihatin dan baru-baru ini tular kisah seorang pelancong dari China yang menangis terharu kerana dibantu oleh seorang lelaki tempatan.

Dalam video itu, pelancong China terbabit menceritakan semula detik menyentuh hati dibantu seorang lelaki berbaju warna merah jambu dan berkopiah ketika dia buntu untuk membeli tiket.


Video itu telah meraih pujian ramai kerana pakcik itu telah menggambarkan sikap sebenar rakyat Malaysia yang tidak lokek membantu tanpa mengira warna kulit mahupun bangsa.

@kool101my

Mulia hati pak cik tolong pelancong dari China ni macam mana nak beli token train di stesen Kuala Lumpur.👏🏼❤️ Pelancong tersebut tak tahu kat mana nak beli token dan kebetulan pak cik ni nampak, dia tolong bawa ke mesin token dan siap tunjukkan arah platform sepatutnya. Ini lah bukti rakyat Malaysia memang prihatin lagi-lagi pada mereka yang dalam kesusahan!❤️😊 #Kool101 #SemasaDanSosial #MuzikYangFamiliar #Berita #isusemasa #isuterkini

♬ original sound – Kool 101 – Kool 101

Artikel berkaitan: “Our Superman!” – ‘Mat Salleh’ Terkandas Di Tawau Sebab Kad Rosak Terharu Dibantu Penduduk Tempatan

Artikel berkaitan: Netizen Kritik Tindakan Pelancong Mat Saleh Cuba Nak ‘Hitchhike’ Kereta Untuk Ke Taman Negara

“Dia asyik cakap rindukan bapanya”

Menurut pakcik itu yang merupakan penjual tisu, dia terpanggil untuk membantu apabila pelancong wanita itu dilihat hilang arah di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

“Dia pusing-pusing, tak tahu arah. Tak ada siapa nak tolong. Akhirnya dia datang dekat saya dan tunjuk sekeping kertas tempat yang dia nak pergi, Masjid Jamek. Dia cakap Bahasa Inggeris, saya pun faham sikit-sikit,” kata Tumin Wahab.

Menceritakan tentang kejadian itu, Tumin berkata dia menolong pelancong wanita terbabit dari naik platform hingga turun di stesen yang sepatutnya.

“Dua hari lepas tu dia datang balik, dia tunjuk video dan mahu mengambil gambar bersama saya. Saya kata ambillah, saya cuma tolong,” katanya.

Bagaimanapun apa menyentuh perasaannya apabila wanita itu tiba-tiba sebak ketika menunjukkan rakaman video terbabit.

Screenshot 2025 05 28 105212

“Dia tunjuk video dia yang tular, lepas tu dia menangis. Dia asyik cakap, dia rindukan bapanya. Masa tu saya pula rasa sedih kerana dia ingat ayah dia dan saya pula terus teringat arwah anak perempuan saya.

“Tapi dalam keadaan sedih itu, saya rasa gembira kerana dapat tolong orang,” katanya.

Jelas Tumin, dia tidak pernah meminta bayaran dengan menolong pelancong wanita itu. Pelancong itu hanya membeli tisu yang dijualnya dan menghulurkan dua ringgit kepadanya.

Katanya lagi, dia tidak menyangka dirinya tular kerana tidak mempunyai telefon bimbit dan tidak mengikuti perkembangan di media sosial. Namun, dia sedia membantu sekiranya ada yang memerlukan pertolongan.

Sikap yang dipamerkan pakcik ini telah mencerminkan budi bahasa dan adab masyarakat Malaysia di mata dunia. Terima kasih pakcik baik!

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.