Seorang saksi yang merupakan pelajar senior memberitahu Mahkamah Koroner Kota Kinabalu mengenai realiti di asrama pada hari ke-25 prosiding inkues kematian Zara Qairina.
Saksi kanak-kanak ke-16 itu memaklumkan bahawa dia tidak percaya terhadap tuduhan kononnya Allahyarham Zara Qairina mencuri, sebaliknya menggambarkan remaja itu suka membantu rakan-rakannya.
“Saksi mengatakan Zara pernah memberi semangat kepadanya untuk belajar. Saksi juga pernah mendengar orang berkata Zara mahu menjadi BADAR serta rapat dengan seorang pelajar senior.
“Saksi menganggap Zara hanya menjadikan pelajar senior itu sebagai idola,” kata peguam yang mewakili ibu Zara Qairina.
Menurut peguam, saksi berkenaan berkata Zara Qairina seorang yang ceria, menghormati pelajar senior dan tidak pernah mengadu masalah atau tekanan kepada sesiapa.
Namun, saksi mendakwa Zara Qairina mungkin kurang digemari oleh beberapa pelajar di asrama kerana ada yang menggelarnya “Zara yang problem itu” disebabkan ada yang menuduh remaja berkenaan mencuri.
Artikel berkaitan: “Ada yang cakap b*doh padanya” – Saksi Sahkan Zara Qairina Jumpa ‘Circle Nineteen’
Artikel berkaitan: Kesan Darah Pada Kertas Yang Ditulis Sepadan Dengan DNA Zara Qairina – Saksi
Budaya memarahi & memaki pelajar junior wujud di asrama
Saksi turut sebak dan menangis apabila mengenang kembali pengalaman pahit semasa menjadi pelajar junior, termasuk kejadian yang dialaminya ketika dikenakan dalam MA (Mesyuarat Aras) iaitu sesi perjumpaan antara pelajar senior dan junior.
Selain itu, saksi juga berkata pernah disindir oleh pelajar senior kerana dia seorang BADAR dan selalu merampas telefon pelajar yang membawanya ke sekolah.
“Mereka menyindir saksi dengan kata-kata ‘tu na tu jibam’. Jibam’ bermaksud ‘pe-report’ (orang yang suka melaporkan). Saksi buat tidak tahu terhadap komen mereka,” katanya.
Saksi ada mendedahkan sekiranya pelajar senior tidak berpuas hati dengan junior, mereka akan terus berjumpa dengan pelajar junior berkenaan dan memakinya menggunakan kata-kata kesat.
“Saksi berkata, pelajar senior sering menunjukkan contoh tidak baik kepada pelajar junior dan walaupun sudah dinasihati, mereka tetap melakukan perkara yang sama.
“Saksi menyatakan bahawa budaya tuduh-menuduh serta tindakan menyerbu atau menyoal siasat pelajar junior dengan cara marah-marah tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Saksi turut menyatakan bahawa warden asrama kurang mengambil berat terhadap pelajar kerana jarang melakukan pemeriksaan di asrama.
Bagaimanapun, susulan kes yang berlaku ini, barulah para warden dilihat mula aktif membuat pemeriksaan di setiap aras asrama.
Sumber: Harian Metro