Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa daerah sekitar Malaysia, ramai pelajar terpaksa menjalani proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dari rumah.
Namun, setelah diteliti, rata-rata pelajar tidak mampu memberi sepenuh perhatian dan fokus berbanding dengan kelas bersemuka di sekolah.
Oleh itu, beberapa pakar telah mengemukakan pendapat tentang bagaimana kelas online boleh ditambah baik dan membantu pelajar untuk mengekalkan minat mereka supaya tidak bosan.
Guru dan ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing
Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Sa’ad, berkata guru perlu memperkasakan kaedah PdP dalam talian dengan menyediakan pelbagai cara pembelajaran yang menarik.
“Ini boleh dimantapkan dengan ‘kaedah pedagogi’ iaitu seni mengajar yang lebih menarik seperti mengadakan kajian eksperimen dan pembentangan kumpulan, kajian kes dan aktiviti menarik lain supaya mengekalkan minat murid.”
Katanya lagi, ibu bapa juga berperanan dalam memantau aktiviti pembelajaran anak di rumah supaya mereka kekal fokus.
“Begitu juga ibu bapa juga perlu memainkan peranan dan sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan anak fokus ketika mengikuti pembelajaran di rumah,”
Pihak sekolah perlu sesuaikan pembelajaran dengan kemampuan pelajar
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kesejahteraan dan Pendidikan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia, Anuar Ahmad pula berpendapat ketidaksamaan taraf kehidupan pelajar juga membuatkan ada dalam kalangan mereka yang tertekan.
“Apabila tiada akses dan komunikasi dua hala, murid akan tertekan, hilang minat dan lama kelamaan tidak mahu bersekolah,”
Maka, pihak sekolah perlu disampaikan data dan maklumat pelajar kepada kementerian untuk perhatian selajutnya dan sesi pembelajaran dapat disesuaikan mengikut keadaan.
Pihak sekolah juga perlu beralih ke platform yang lebih sesuai untuk golongan yang kurang berkemampuan ini dengan memastikan ada interaksi di antara guru dan pelajar selain kaedah kelas online.
Sumber: Berita Harian
Baca: “Tak kesian dengan cikgu ke?” – Murid Buat Tak Tahu Waktu Kelas Online, Homework Pun Tak Nak Siapkan