Gambar di sebelah kanan sekadar hiasan.
Muda-muda dah berani masuk geng kongsi gelap. Kemudian ajak orang lain pula tu join kumpulan itu. Jikalau individu tersebut ingkar dengan kata-kata mereka, tak pasal-pasal kena hentam seperti pelajar ini.
Baru-baru ini, seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah dekat Taman Impian Emas Johor Bahru, cedera setelah dipukul lima remaja hingga berdarah akibat menolak menyertai kumpulan kongsi gelap ‘Geng 550’, lapor Harian Metro.

Mangsa yang dikenali sebagai ‘Allan’ mendakwa hidupnya tertekan kerana sering diganggu oleh ahli kumpulan tersebut yang masih berada di sekolah itu. Tidak cukup dengan itu, dia juga sering menerima ugutan melalui aplikasi WeChat sejak Mac lalu.
Menurut Allan, dia tidak mengendahkan ugutan remaja-remaja tersebut kerana tidak mahu terlibat dengan perkara yang melanggar undang-undang meskipun keselamatannya sentiasa terancam semasa di sekolah.
“Mereka berkata akan mengajar saya untuk dijadikan pengajaran supaya pelajar lain tidak akan mengingkari arahan mereka.”

Namun pada jam 1 tengah hari di hari kejadian, mangsa bersama rakan-rakannya yang sedang menunggu bas sekolah telah didatangi lima remaja termasuk seorang pelajar dari sekolah yang sama dengannya.
Mereka seterusnya mengheret Allan ke satu lorong di kawasan berhampiran dan mula mengugutnya. Kata salah seorang pelajar, dia lebih baik menyertai kumpulan tersebut atau mereka akan menggunakan kekerasan untuk memastikan dia menyertai mereka.

Namun Allan akhirnya dihentam mereka berlima sehingga rebah. Bibir bawahnya terkoyak dan berdarah, manakala dahi dan telinga kirinya bengkak akibat ditendang kuat. Dia juga mengalami kecederaan pada bahagian pipi dan pergelangan tangan kanan yang luka akibat perbuatan remaja tersebut.
“Selepas berpuas hati melihat saya terbaring dan baju berlumuran darah, mereka memberi amaran supaya saya menyertai kumpulan itu atau berdepan gangguan lain,” kata Allan.

Mangsa seterusnya dibawa oleh ibu bapanya untuk membuat laporan polis di IPD Johor Bahru Utama (JBU) untuk keselamatan dirinya dan berharap pihak polis memberkas remaja berkenaan untuk mengelak kejadian seperti itu berulang.
Hasil siasatan polis mendapati pelajar-pelajar tersebut baru saja dibuang sekolah dan mereka sedang mencari ahli baru untuk menyertai kumpulan yang dikenali sebagai Hup Woh Teng atau Geng 550.
Semoga suspek diberkas polis secepatnya. Makin dibiar, takut makin menjadi-jadi pula!
Baca: Pelajar Dari Cheras Dibelasah Gangster Selepas Tolak Tawaran Kumpulan Kongsi Gelap