Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebentar tadi telah mendedahkan surat daripada Majlis Kesultanan Pahang yang mengesahkan wujudnya Titah Adendum yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Menurut Muhammad Shafee, surat yang bertarikh 4 Januari itu telah dihantar kepada anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar oleh Pengelola Bijaya Diraja Ke-Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.
Artikel berkenaan: [TERKINI] Najib Razak Diarah Bela Diri Kesemua 25 Pertuduhan Penyelewengan Libat Dana 1MDB
Artikel berkenaan: Najib Razak Buat Permohonan Maaf Terbuka Kepada Rakyat Malaysia Isu Salah Laku Dalam Kes 1MDB
Beliau mendedahkan dokumen itu ketika mengemukakan permohonan Najib untuk memasukkan bukti tambahan dalam rayuannya untuk mendapatkan semakan kehakiman berhubung Titah Adendum berkenaan.
Surat itu juga memaklumkan bahawa baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 menitahkan supaya Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi penahanan dalam rumah (house arrest) melalui Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.
Surat itu juga menyatakan, Pengelola Bijaya bagi pihak Sultan Pahang memperakukan bahawa Titah Adendum adalah wujud dan sahih.
Sumber: Berita Harian