in

Pegawai Bomba Tercampak Lepas Motosikal Ditunggang Langgar Kerbau Berkeliaran

7bomba

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Seorang pegawai bomba maut selepas motosikal ditungganginya merempuh seekor kerbau dalam kejadian di Kilometer 85, Jalan Ladang Gajah Mati, Dungun, pada Sabtu malam. Dalam kejadian sekitar jam 7.25 malam itu, mangsa, Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Kamil Mat Jusoh, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Screenshot 2025 10 12 at 1.45.39 PM

Menurut laporan Sinar Harian, siasatan awal polis mendapati, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Selesa, Al-Muktafi Billah Shah, selepas menghadiri Program Hari Pencegahan Kebakaran 2025 di Kuala Terengganu. Ketika melalui kawasan berkenaan, sekumpulan kerbau dikatakan melintas secara tiba-tiba menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Z250 SL tidak sempat mengelak lalu merempuh salah seekor haiwan tersebut.


Impak pelanggaran kuat itu menyebabkan mangsa tercampak dari motosikal dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian.

Screenshot 2025 10 12 at 1.45.50 PM

Jenazah Mohamad Kamil akan disolatkan di Masjid Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Al-Muktafi Billah Shah. Difahamkan, Allahyarham telah berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Al-Muktafi Billah Shah sejak tahun 2005 dan dikenali sebagai seorang anggota yang berdedikasi serta komited dalam melaksanakan tugas.

Pemergian Allahyarham dianggap satu kehilangan besar kepada pasukan bomba di balai berkenaan kerana beliau disifatkan sebagai individu yang sentiasa bersedia menjalankan tanggungjawab dan disenangi rakan setugas.

 

Baca: SUV Bawa Rokok Seludup Masuk Laluan Bertentangan, 3 Terkorban Di Tempat Kejadian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.