Seorang Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan mencuri perhatian ramai apabila dia dikhatankan bersama 38 kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun di BBP Yan.
Jelas K Saravanan, 25, dia menawarkan diri untuk berkhatan selepas dimaklumkan program ini dilakukan secara percuma anjuran BBP Yan dengan kerjasama Hospital Yan. Difahamkan, Saravanan sudah tujuh bulan bertugas sebagai PBB di situ.
Jelas pemuda ini dalam satu kenyataan, dia mengaku berkhatan itu adalah sakit, namun ia adalah satu pengalaman yang menyeronokkan. Saravanan juga menyatakan dia menerima sokongan penuh dari rakan seperjuangannya untuk melakukan khatan.
Apabila ditanya berkenaan pemilihannya untuk berkhatan, Saravanan berkata ini adalah bertujuan untuk kebersihan diri meskipun dia berasa takut pada awalnya.
“Saya memang nak berkhatan untuk kebersihan diri daripada kuman sebab itu saya tawarkan diri (berkhatan) walaupun saya seorang saja berketurunan India. Mula-mula berdebar jugalah tapi lepas selamat dikhatankan, perasaan takut hilang,” jelasnya kepada sumber.
Untuk rekod, Majlis Berkhatan dan Kesyukuran BBP Yan bersama Komuniti Yan mendapat sumbangan daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia, Petronas Gas, Bomba Komuniti, Ahli Parlimen Jerai, Bank Rakyat dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.
Salute buat Saravanan!
Kredit: Harian Metro