Takut terkantoi berdua-duaan dalam kereta, pasangan kekasih cuba melarikan diri dengan memecut kenderaan dinaiki mereka sejauh kira-kira 14 kilometer dari kawasan Hutan Simpan Masjid Tanah hingga ke Paya Lebar, Alor Gajah.
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, pemandu ialah seorang lelaki berusia 30 tahun bertindak memecut Perodua Myvi dinaiki bersama pasangannya, sejurus berselisih dengan kereta peronda (MPV Polis) yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan hutan simpan berkenaan, malam tadi.
Artikel berkaitan: Kantoi Berdua-duaan Dalam Kereta, Pasangan Kekasih Pecut Sejauh 130KM Lepas Dikejar Polis
Artikel berkaitan: Ditangkap Khalwat Dalam Kereta Dengan Suami Orang, Wanita Bagi Alasan Tengah Makan Sate
Si lelaki sempat larikan diri
Akibat kerana cemas tiba-tiba berselisih dengan kereta peronda, pemandu memecut kenderaan tetapi hilang kawalan sehingga terbabas ke dalam sungai.
“Setibanya di Paya Lebar, kereta itu terbabas ke dalam sungai dan pemandunya terus melarikan diri dengan berenang ke seberang.
“Anggota peronda yang tiba di tempat kejadian membuat pemeriksaan ke atas kenderaan itu namun tidak menjumpai barang salah.
“Terdapat seorang wanita berusia 26 tahun di dalam kereta, namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Ashari berkata, anggota peronda kemudian menghantar wanita itu ke Telok Gong yang mana difahamkan rumah saudaranya berada di situ.
“Siasatan mendapati suspek disyaki melarikan diri kerana takut ditahan oleh pihak polis sebab disyaki berkhalwat dengan teman wanita yang baru dikenali di dalam kereta.
“Kereta suspek terbabas sendiri dan tiada sebarang kemalangan membabitkan kenderaan lain dan tiada tangkapan dan rampasan dibuat.”
Bagaimanapun, semakan polis mendapati lelaki terbabit mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Sumber: Berita Harian