Peminat filem seram semestinya pernah menonton filem Annabelle dan The Conjuring Universe yang lain. Ada yang sampai tak boleh tidur malam lepas tengok filem-filem ni sebab memang menakutkan dan buat kita teringat je kan.
Kali ini pula, sebuah patung yang dikatakan mirip dengan patung Annabelle telah ditemui oleh urban explorer di sebuah kawasan hutan di luar negara, lapor Daily Star.
Patung bersaiz seperti kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan dikurung dalam bekas kaca persis seperti patung dalam filem Annabelle dan ia dianggarkan telah berusia lebih kurang 50 tahun.
Gambar penemuan patung misteri itu pada mulanya telah dikongsikan di Facebook Antiquated Archaic baru-baru ini dan kemudiannya mendapat perhatian daripada netizen.
Dapat dilihat dalam gambar tersebut bahawa terdapat sedikit kekotoran pada pada wajah patung terbabit yang dipakaikan gaun berwarna putih. Rata-rata netizen pula mengatakan patung itu memang kelihatan menyeramkan dan ada yang berpendapat mungkin patung itu sengaja ditinggalkan si situ oleh pemiliknya sebab ia berbahaya.
Selain itu, ada juga netizen lain yang berkongsikan dia juga tak akan ambil patung itu walaupun dirinya sendiri merupakan peminat patung sebab objek itu tidak diketahui asal usulnya.
Tak kurang juga ada yang menasihati individu yang menemui patung itu untuk tidak menyentuh objek misteri tersebut kerana dikhuatiri perkara buruk akan berlaku. Namun, sehingga kini, bagaimana patung tu boleh berada di kawasan hutan itu masih belum diketahui.
Rasanya lebih baik kalau kita tak sentuh atau bawa balik benda-benda macam ni kalau terjumpa di hutan kan sebab manalah tahu macam-macam boleh jadi nanti.
Sumber: Daily Star
Baca: “Anabelle ke tu?’- [VIDEO] Seram! Lelaki Sempat Rakam Anak Patung Bergerak Sendiri Dalam Rak Kaca