Awal Februari lalu, tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan tindakan seorang mak cik yang menyamar menjadi tetamu di sebuah majlis kenduri di sebuah rumah di Kampung Tasek Berangan, Pasir Mas, Kelantan untuk mencuri wang tunai di rumah berkenaan ketika majlis berlangsung.
Wanita warga emas itu kemudiannya berjaya ditahan polis sekitar minggu lalu di Kota Bharu, Kelantan dan seorang lagi individu iaitu seorang lelaki warga emas dipercayai pasangannya turut ditahan berhubung kes kecurian di majlis kenduri tersebut.
Kedua-dua mereka kemudiannya ditahan reman dan terkini, baru sahaja habis tempoh tahanan reman, kedua-dua warga emas tersebut ditahan sekali lagi untuk membantu siasatan berhubung kes kecurian di majlis perkahwinan di Tumpat pada Februari tahun lalu.
Memetik laporan Harian Metro, wanita warga emas berusia 61 tahun dan lelaki 60-an itu ditahan semula semalam untuk siasatan kes kecurian di Tumpat pula.
Artikel Berkaitan: Makcik Curi RM2,500 Di Rumah Pengantin Ditangkap, Ada 10 Rekod Jenayah
Artikel berkaitan: Makcik Menyamar Jadi Tetamu Kenduri, Konon Tumpang Tandas Rupanya Curi Beg Tangan Tuan Rumah
Difahamkan, sebuah laporan polis telah diterima oleh pihak PDRM tentang kes kecurian beg tangan di Kampung Periok, Chabang Empat, Tumpat, Kelantan pada 22 Februari 2024 iaitu pada tahun lalu.
Dalam beg tangan yang dicuri itu, terdapat wang tunai bernilai RM3,000.
Pengadu telah membuat laporan polis tentang kecurian tersebut di mana pengadu mendakwa bahawa seorang wanita pada ketika itu telah berpura-pura menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya.
Wanita tersebut kemudiannya menceroboh masuk ke salah satu bilik tidur dan dipercayai mencuri beg tangan milik isteri pengadu yang mempunyai wang tunai RM3,000 di dalamnya.
Suspek kemudiannya beredar meninggalkan rumah tempat kenduri tersebut.
Menurut pihak polis, modus operandi kes kecurian di Tumpat itu dilihat sama seperti yang berlaku di majlis kenduri di Pasir Mas.
Oleh itu, wanita warga emas itu ditahan semula oleh pihak polis sebaik sahaja tempoh reman wanita itu yang sebelum ini selesai.
Difahamkan, suspek ditahan reman semula selama 4 hari bermula semalam sehingga 24 Februari ini.
Sumber: Harian Metro