Seorang pengurus projek sebuah syarikat pembinaan terkemuka bertindak nekad membakar wang tunai hampir RM 1 juta selepas kediamannya diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khamis lalu.
Menurut laporan Harian Metro, suspek bertindak panik dan cuba melupuskan wang tunai tersebut sebaik melihat kehadiran pegawai SPRM di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor.
Selepas pintu berjaya dibuka, pasukan penyiasat menemui kepulan asap tebal dari sebuah bilik mandi.
Pemeriksaan lanjut menemui wang kertas RM100 berjumlah hampir RM 1 juta dalam keadaan rentung.
Artikel berkaitan: Penjawat Awam Direman 5 Hari Gara-gara Seleweng Tanah Untuk Anak Sendiri
Artikel berkaitan: Pegawai & Anggota Miliki BMI Berlebihan Tidak Dipertimbang Naik Pangkat – KP SPRM
Pemeriksaan lanjut menemukan wang tunai kira-kira RM7.5 juta yang disorokkan dalam kotak bantal, selain tiga utas jam tangan mewah jenama Rolex, Omega dan Cartier serta pelbagai barang kemas seperti cincin dan syiling emas.
Semua barangan tersebut disita untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan kejadian tersebut dan menegaskan bahawa cubaan melupuskan bahan bukti adalah satu kesalahan serius di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17A Akta SPRM 2009.