Seorang pembantu pusat jagaan kanak-kanak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas 4 pertuduhan mendera 4 orang kanak-kanak di pusat jagaan pada Ogos lalu.
Wanita berumur 20 tahun yang dikenali sebagai Puteri Nurin Amalina Ahmad Daud bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin dan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi selepas pertuduhan dibacakan.
Artikel berkaitan : Polis Kini Buru Suspek Dera Kanak-kanak Usia 2 Tahun Hingga Lebam & Berbirat
Artikel berkaitan : Ibu Bapa Dakwa Bayi Umur Sebulan Didera & Dip*kul, Bukan Meninggal Sebab Tersedak Susu
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia telah didakwa kerana menganiaya 4 kanak-kanak perempuan berusia 5 hingga 6 tahun dengan cara menekap sudu besi panas di lengan mangsa sehingga menyebabkan melecur.
Menurut sumber, kesalahan dilakukan di sebuah pusat jagaan di Taman Merbok Ria, di sini, sekitar Ogos lalu. Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama.
Tertuduh berdepan dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Noraziha Asmuni dan Syamimi Farhana A Aziz masing-masing tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan tertuduh mungkin mengulangi kesalahan sama dan mengambil kira keseriusan kesalahan.
Namun begitu, gadis tersebut tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah kerana tiada pendapatan tetap dengan hanya diberikan elaun sebanyak RM300 sebulan sebagai pembantu pusat jagaan.
Dia juga memberitahu mahkamah dia mengalami sakit tulang belakang dan akan diikat jamin bapanya.
Surita bagaimanapun membenarkan jaminan sebanyak RM40,000 bagi dua pertuduhan dengan syarat perlu melaporkan diri ke balai polis setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa.
Namun begitu, Meor Sulaiman tidak membenarkan jaminan diberikan. Sebutan semula kes bagi penyerahan laporan perubatan dan lantikan peguam pada 18 Oktober depan.
Sumber : Buletin TV3