Bekas pemain NFL, OJ Simpson atau nama sebenarnya Orenthal James Simpson telah disahkan meninggal dunia oleh keluarganya selepas bertarung dengan kanser prostat.
Nama OJ Simpson mula diperkatakan di seluruh dunia selepas dia dituduh membunuh bekas isterinya, Nicole Brown Simpson dan rakannya Ron Goldman selepas mereka berdua ditemui mati ditikam di luar rumah mereka di Los Angeles.
Ekoran berita pemergiannya ini, ramai mula bercakap semula tentang isu pembunuhan serta perbicaraan yang dianggap sebagai trial of the century.
Artikel berkaitan: “Tak sempat sambut hari lahir” – Kisah Pembunuhan Tragik Grace Millane Di Tangan Lelaki Yang Dikenali Di Tinder
Aritkel berkaitan: 7 Kerabat Diraja Britain Yang Terselamat Dari Cubaan Pembunuhan Di Tempat Awam, Ini Kisah Mereka…
OJ telah dituduh membunuh bekas isteri dan rakan isterinya itu serta perbicaraan tersebut telah ditayangkan secara langsung di semua TV di Amerika Syarikat. Barisan juri bagaimanapun mendapati OJ tidak bersalah selepas lapan bulan.
Tapi sehingga hari ini, ramai orang masih berbelah bahagi dengan keputusan tersebut kerana ada ramai yang menganggap lelaki ini bersalah.
Jom kita tengok balik kes kronologi kes pembunuhan Nicole dan Ron serta perbicaraan yang telah menjadi sejarah sebagai perbicaraan pertama yang disiarkan secara langsung di AS.
Pembunuhan Nicole Brown Simpson dan Ron Goldman
12 Jun 1994: Nicole Brown Simpson dan Ron Goldman dibunuh
Pada jam 6.30 petang, Nicole pergi makan malam bersama rakan-rakan dan keluarganya di sebuah restoran terletak di Brentwood selepas menghadiri persembahan tarian anak perempuannya bersama bekas suaminya, OJ Simpson.
Restoran bernama Mezzaluna ini juga merupakan tempat Ron Goldman bekerja sebagai seorang pelayan. Nak dijadikan cerita, ibu Nicole telah tertinggal cermin matanya di restoran tersebut hingga menyebabkan Ron telah menawarkan diri untuk menghantarnya ke rumah Nicole.
Kemudian, lebih kurang jam 10.45 malam, tetamu di rumah OJ yang terletak tak jauh dari rumah Nicole telah terdengar bunyi hentakan yang kuat sehingga dia telah pergi ke luar untuk melihat apa yang berlaku.
Manakala, salah seorang jiran pula telah menemui anjing Nicole, Akita bersendirian dan berterusan menyalak dengan tapak kaki berdarah.
Sementara itu, seorang pemandu limo, Allan Park telah menunggu OJ di di hadapan rumahnya sejak pukul 10.25 malam sebelum OJ keluar dari rumahnya pada jam 11 malam. Allan kemudiannya telah menghantar OJ ke Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles untuk mengejar penerbangannya ke Chicago.
13 Jun 1994: OJ Simpson jadi suspek utama
Kira-kira jam 12.10 pagi, anjing Nicole telah membawa jiran mereka ke arah mayat Nicole dan Ron yang terbaring berhampiran pagar rumah wanita tersebut.
Pada jam 4.30 pagi, pihak polis telah tiba di rumah OJ untuk memberitahu lelaki ini tentang kematian bekas isterinya, tapi mereka telah menemui kereta OJ yang mempunyai kesan darah serta satu sarung tangan yang serupa dengan sarung tangan yang mereka temui berhampiran mayat Ron.
Pihak polis kemudiannya telah menggeledah rumah OJ dan menemui lebih banyak kesan darah di rumah tersebut. Manakala OJ telah pulang ke Los Angeles selepas diberitahu tentang kematian isterinya.
Setibanya dia di rumahnya, pihak polis telah menahan dan menggari lelaki ini dan dibawa ke balai polis untuk disoal siasat.
15 Jun 1994: Robert Shapiro dilantik sebagai peguam OJ Simpson
Robert Shapiro telah mengambil alih tugasan sebagai penasihat utama OJ Simpson menggantikan Howard Weitzman.
16 Jun 1994: Pengebumian Nicole Brown Simpson dan Ron Goldman
Pengebumian Nicole dan Ron telah diadakan dan dihadiri oleh dua anak OJ Simpson.
Adegan kejar mengejar dan dakwaan terhadap OJ Simpson
17 Jun 1994: Adegan kejar mengejar
OJ Simpson telah didakwa atas pertuduhan membunuh bekas isterinya dan Ron Goldman. Walaupun OJ berjanji untuk menyerahkan diri kepada pihak berkuasa, dia bagaimanapun telah melarikan diri sebelum dikesan di sebuah lebuhraya menaiki kereta Ford Bronco berwarna putih yang dipandu oleh rakannya Al “A.C.” Cowlings.
Peminat-peminat OJ mula berkumpul di tepi lebuhraya untuk bersorak sambil keretanya diikuti oleh helikopter-helikopter pihak berkuasa. Adegan kejar mengejar ini turut ditayangkan di televisyen di mana OJ akhirnya menyerahkan diri di rumahnya sebelum jam 9 malam dan ditahan dan dipenjarakan tanpa ikat jamin.
22 Julai 1994: OJ Simpson mengaku tak bersalah
Ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya, OJ Simpson telah mengaku tak bersalah ke atas pembunuhan tersebut di hadapan hakim Lance Ito.
Perbicaraan OJ Simpson
Pendakwaraya telah membuat keputusan untuk tidak memberikan hukuman mati dan memberikan penjara seumur hidup tanpa pengampunan.
Sebelum perbicaraan bermula, berlaku beberapa pergaduhan di antara peguam-peguam yang mewakili OJ sehingga ada di antara mereka yang dah tak bercakap antara satu sama lain.
Disebabkan ini, pada 18 Januari 1995, Johnnie Cochran pula telah mengambil alih kedudukan sebagai penasihat utama OJ Simpson.
Perbicaraan kemudiannya bermula pada 25 Januari 1995 di mana pihak pendakwa raya memberikan kenyataan pembukaan dengan mengatakan OJ Simpson telah membunuh Nicole kerana cemburu.
Manakala pihak pembelaan mengatakan bahawa kes ini merupakan tuduhan terburu-buru dan pihak pendakwa raya akan pastikan yang mereka menang dengan apa cara sekali pun.
Ketika memberikan kenyataan, kakak Nicole, Denise Brown mengatakan bahawa Nicole telah didera oleh OJ. Selain itu, juri juga turut membuat lawatan ke kedua-dua rumah Nicole dan OJ yang dianggap sebagai lokasi jenayah.
Sementara itu, Detektif Mark Fuhrman ketika disoal telah menafikan bahawa dia seorang yang rasis. Namun begitu, pihak juri telah mendengar satu rakaman lama di mana Fuhrman telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan berunsur perkauman serta tindakan ganasnya terhadap tahanan-tahanan orang berkulit hitam sekaligus bercanggah dengan kenyataannya sebelum ini.
Pakar jenayah, Dennis Fung pula mengakui bahawa beberapa protokol telah diabaikan ketika pihak polis berada di lokasi jenayah. Ketika pendakwa raya meminta OJ memakai sarung tangan yang ditemui di lokasi jenayah, OJ mengatakan sarung tangan tersebut terlalu ketat untuknya.
Ekoran ini, pihak pembelaan telah menggunakan perkara ini ketika memberikan kata-kata penutup. Kenyataan Johnnie ketika itu telah menjadi satu frasa yang popular:
If it doesn’t fit, you must acquit.”
Pada 3 Oktober 1995, selepas empat jam berbincang, juri kembali ke mahkamah dan memberikan keputusan bahawa OJ Simpson tak bersalah atas dua dakwaan pembunuhan ke atasnya.
Perbicaraan sivil
Setahun kemudian, pada 23 Oktober 1996, keluarga Nicole dan Ron termasuk bapanya Fred Goldman telah menyaman OJ Simpson di mahkamah sivil atas dua kematian tersebut.
Selepas lebih lima bulan, 12 juri telah bersetuju bahawa bekas pemain NFL ini bertanggungjawab atas kematian bekas isterinya dan Ron. OJ diarahkan untuk membayar wang pampasan sebanyak US$8.5 juta kepada keluarga Ron Goldman.
Seminggu kemudian, mahkamah memutuskan OJ perlu membayar sebanyak US$25 juta kepada kedua-dua keluarga mangsa.
Keputusan juri ini merupakan satu-satunya keputusan yang penting untuk kami. Untuk mencari pembunuh anak saya dan Nicole. Duit bukanlah isunya. Kami hanya mahu orang yang bunuh anak kami dan Nicole bertanggungjawab.” – Fred Goldman