Sejak khabar berita mengenai kemangkatan Ratu Elizabeth II ini, pelbagai spekulasi telah dicetuskan oleh para warganet di media sosial berkenaan teori-teori berkaitan ratu tersebut yang menimbulkan perbualan dan perdebatan antara kita.
Seperti baru-baru ini, tular beberapa teori konspirasi yang bertebaran di media sosial mengenai keturunan keluarga diraja Britain. Ada segelintir yang mendakwa bahawa Ratu Elizabeth II itu daripada keturunan ke-43 Nabi Muhammad SAW dan ada juga yang mengatakan beli merupakan generasi Firaun ke-43.
Sejauh mana kebenaran tersebut akan dibedah pada hari ini. Jom kita lihat dakwaan-dakwaan yang diutarakan oleh netizen mengenai nasab keturunan Ratu Elizabeth II.
Menurut Sinar Islam Plus, jawapan balas ini telah ditulis oleh Khairi Asyraf yang merupakan seorang penulis terus mematahkan spekulasi yang tidak berteraskan bukti yang kukuh.
Ratu Elizabeth II merupakan keturunan Nabi Muhammad
Zaida seorang puteri dari keturunan Nabi Muhammad yang meminta perlindungan kepada Raja Sepanyol dari penguasaan Dinasti Murabbitun telah dimurtadkan dan berkahwin atau dijadikan gundik raja tersebut.
Keturunan Raja Sepanyol ini melahirkan kerabat diraja England dan seterusnya sampai kepada Elizabeth II. Sejauh mana kebenarannya?
Jawapan:
Ketika zaman Reconquista, memang ramai umat Islam dipaksa murtad. Bahkan, tidak mustahil ada keturunan nabi yang ketika itu menjadi para bangsawan di wilayah Andalusia juga turut dipaksa murtad.
Sumber Kristian mendakwa, Zaida iaitu puteri Sultan Muhammad III al-Mu’tamid bin Abbad iaitu pemerintah Taifah Sevilla, Andalusia-Sepanyol yang dikatakan berketurunan Nabi Muhammad SAW telah berkahwin atau menjadi gundik Raja Alfonso VI of Castile.
Zaida telah dipaksa baptis memeluk Kristian Katolik lalu dikatakan memakai nama Isabella. Isabella ialah nama isteri Raja Alfonso yang melahirkan keturunan baginda.
Bagaimanapun, menurut sumber Islam, Zaida bukanlah puteri Sultan al-Mu’tamid, tetapi hanyalah menantu baginda sahaja. Jadi, dakwaan bahawa Zaida sebagai keturunan Nabi Muhammad SAW adalah tidak terbukti.
Seandainya Zaida itu memang masih merupakan keturunan Nabi Muhammad dari jalur lain, namun sejarawan tetap meragui adakah Zaida yang dikatakan menukar nama sebagai Isabella ini adalah identiti yang sama dengan Isabella isteri keempat Raja Alfonso?
Jikapun Isabella, isteri keempat Raja Alfonso itu sememangnya Zaida, tetap keturunan mereka itu tidak dianggap Ahlul Bayt kerana nasab mereka terputus disebabkan murtad.
Bahkan, perkaitan Raja Alfonso di Sepanyol sehingga membawa kepada keturunan Edward IV of England dan seterusnya sampai kepada Ratu Elizabeth II juga berlaku banyak kesamaran.
Ratu Elizabeth II keturunan Firaun
Firaun Cleopatra berkahwin dengan Julius Caesar kemudian Cleopatra dibawa ke Rome. Perkahwinan itu kemudiannya melahirkan keturunan Dinasti Merovingian dan seterusnya melahirkan kerabat Diraja Britain sehingga sampai kepada Ratu Elizabeth II. Benarkah begitu?
Jawapan:
Firaun adalah satu gelaran bagi pemerintah di Mesir Purba. Firaun ini ada ramai dan melalui banyak dinasti.
Firaun yang dilaknat pada zaman Nabi Musa sepertimana yang disebut dalam al-Quran itu hanyalah salah satu daripada keseluruhan Firaun-Firaun dari pelbagai dinasti yang ada ini. Jadi, Firaun yang mana satukah dikaitkan itu?
Jika menurut dakwaan, Firaun yang dikaitkan dalam isu itu ialah Firaun Cleopatra VII Philopator, Cleopatra sebenarnya bukanlah keturunan Firaun-Firaun yang berasal dari Mesir.
Sebaliknya, beliau berketurunan Greek yang datang menjajah Mesir, lalu memakai gelaran Firaun. Cleopatra sebenarnya adalah dari Dinasti Ptolemy (zaman Graeco-Roman).
Justeru, tiada bukti yang menunjukkan Cleopatra dan Julius Caesar melahirkan keturunan Dinasti Merovingian. Dinasti Merovingian itu juga tidak dihubungkan kepada Dinasti Windsor iaitu kekerabatan Ratu Elizabeth II. Dinasti Windsor yang dahulunya terkait dengan Dinasti Wettin cabang Saxe-Coburg and Gotha itu berasal dari German.
Kesimpulannya, dakwaan Ratu Elizabeth II adalah keturunan Nabi Muhammad disandarkan kepada sangkaan yang lemah. Dakwaan Elizabeth II adalah keturunan Firaun pula disandarkan kepada sangkaan yang tidak terbukti.
“Ya, memang boleh dikatakan tidak mustahil Ratu Elizabeth II berketurunan Nabi Muhammad SAW atau Firaun, tetapi setiap dakwaan yang hendak diiktiraf sebagai fakta perlu disertakan sandaran yang jelas. Jika tidak, ia masih bertaraf teori atau lebih rendah lagi hanya sekadar hipotesis.”
Sehingga sekarang, sandaran yang dibawa masih sangat diragui. Akan tetapi, jika memang Ratu Elizabeth II adalah keturunan Firaun sekalipun, tetaplah dia tidak menanggung laknat dan dosa Firaun yang disebutkan dalam al-Quran.
Dan jika memang Elizabeth II ada dua darah Nabi Muhammad SAW sekalipun, tetaplah tiada apa kelebihan padanya sekiranya tidak disertakan dengan iman.
Sangat berguna sebagai ilmu untuk pembaca!
Baca: Tunaikan Umrah Buat Ratu Elizabeth ll, Jemaah Dari Yaman Ditahan