Sudahlah dipaksa mengemis, dipukul pula kalau tidak berjaya capai target.
Itulah insiden yang menimpa seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di negara jiran, Indonesia. Lebih malang, mangsa yang hanya dikenali sebagai TK diperlakukan sebegitu oleh neneknya sendiri.
Kejadian itu sampai ke pengetahuan pihak berkuasa setelah satu rakaman video memaparkan suspek yang berusia 46 tahun memukul mangsa tular di media sosial. Difahamkan, insiden itu berlaku di kawasan Jalan Jenderal Sudirman berdekatan Charitas Palembang, Sumatera Selatan, Indonesia.
https://www.instagram.com/p/CONBnHeJOKD/?utm_source=ig_embed&utm_campaign=embed_video_watch_again
Menerusi video terbabit, mangsa dilihat dipukul suspek dengan menggunakan beg tangan selepas menghulurkan sesuatu dipercayai wang hasil dipaksa mengemis. Tidak cukup dengan itu, suspek juga menarik rambut mangsa dan memaki hamun cucunya itu meskipun mereka berada di kawasan orang ramai.
Ajak cucu mengemis sebab sekarang tengah sekolah dari rumah
Selepas video itu viral, nenek terbabit telah ditangkap oleh Unit Perelindungan Perempuan dan Anak (PPA) Satuan Reserse Kriminal Polrestabes Palembang pada Rabu, 28 April lalu, lapor Kompas.com.
Hasil pemeriksaan mendapati, suspek yang dikenali sebagai Suryani mengaku mengajak cucunya mengemis sejak seminggu lalu memandangkan kanak-kanak itu sedang bersekolah dari rumah akibat wabak COVID-19.
Menurut mangsa yang masih trauma, neneknya menetapkan sasaran Rp 30.000 (RM8.52) sehari dan jika target itu tidak dicapai, dia akan diperlakukan secara kasar.
Difahamkan, duit hasil mangsa dipaksa mengemis digunakan bagi menampung perbelanjaan dan keperluan harian mereka.
Sementara itu, suspek dikatakan telah meminta maaf dan menyesal dengan perbuatannya.
Media tempatan melaporkan suspek berdepan hukuman penjara 10 tahun jika disabitkan kesalahan.
Sumber: Kompas.com